AGENDANASIONAL

TMM 2020: 100,000 pemain golf amatur lawat Malaysia

BOGOR, 12 JAN: Tourism Malaysia di Indonesia menyasarkan lebih 100,000 kedatangan pemain golf amatur Indonesia ke Malaysia bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).

Pengarahnya, Roslan Othman berkata, pihaknya bekerjasama dengan kelab-kelab golf di Indonesia untuk bersama- sama mempromosikan golf sebagai produk pelancongan di Malaysia.

“Setiap tahun, Malaysia menjadi pusat tumpuan pemain golf amatur dari seluruh dunia dengan lebih 370,000 setiap tahun, yang turut menjana pulangan lebih RM1 bilion kepada industri pelancongan Malaysia,” katanya pada sidang media sempena Kejohanan Golf ASEAN Tourism (ATGT) 2020 di sini semalam.

Beliau berkata pemain golf amatur Indonesia juga adalah antara penyumbang utama kepada pendapatan pelancongan di Malaysia.

“Tahun lepas kita mencapai sasaran 3.6 juta pelancong Indonesia ke Malaysia, pada tahun 2020 kita menyasarkan 4 juta pelancong yang juga termasuk dalam kalangan pelancong yang datang untuk bermain golf di kelab- kelab golf di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Presiden ATGT 2020, Datuk Sahariman Hamdan berkata, AGTT itu adalah julung kali akan diadakan, yang turut bertujuan mempromosikan TMM 2020.

“ATGT ini melibatkan tiga negara, Malaysia, Indonesia dan Thailand untuk edisi pertama dan tahun kedua kita berharap penyertaan dari negara- negara lain,” katanya.

ATGT akan bermula di Kelab Golf & Country Phuket (Thailand) pada Jun ini, diikuti Kelab Golf & Country Horizon Hills, Johor (Malaysia) pada Ogos, Kelab Golf Rainbow Hills (Bogor, Indonesia) pada September dan Disember di Lanjut Beach & Golf Resort, Pahang (Malaysia).

Beliau berkata ATGT menjangka penyertaan lebih 500 pemain amatur.

– BERNAMA


Pengarang :