Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar sebelum menyaksikan tayangan khas Ejen Ali The Movie bersama penghuni Taman Sinar Harapan Cheras di mmCineplexes, The Curve hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tonton Ejen Ali The Movie, TPM puji kualiti animasi tempatan

PETALING JAYA, 11 JAN: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memuji potensi industri perfileman dan animasi tempatan yang berupaya melahirkan karya berkualiti setanding negara luar.

“Saya bangga potensi perfileman terutama di bawah bakat anak-anak bangsa negara kita digilapkan dan dibawa ke tahap sebegini hebat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menonton filem animasi ‘Ejen Ali The Movie’ bersama 50 orang kurang upaya (OKU) yang merupakan penghuni Taman Sinar Harapan (TSH) Cheras yang turut disertai suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tayangan khas filem yang berlangsung di mmCineplexes, e-Curve Damansara adalah inisiatif dan cadangan Dr Wan Azizah untuk meluangkan masa dengan penghuni TSH, institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang menjaga, melindungi dan memulihkan anak-anak OKU.

Dr Wan Azizah berkata filem animasi Ejen Ali misalnya, mempunyai kualiti yang amat bagus dan sarat dengan latar cerita yang menarik.

“Dalam filem itu, isu sosial dan mesej penting diketengahkan termasuk pelajaran kehidupan dan jangan putus asa walaupun susah,” katanya.

Filem terbitan Primeworks Studios dan WAU Animation itu meraih kutipan RM30 juta di Malaysia, Singapura dan Brunei dalam tempoh enam minggu tayangan, yang mengisahkan Ali direkrut sebagai penyiasat di agensi perisikan Meta Advance Tactical Agency.

-BERNAMA


Pengarang :