AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Transaksi tanpa tunai bendung ekonomi hasil aktiviti tidak bermoral

SHAH ALAM, 22 JAN: Transaksi tanpa tunai perlu diperluas bagi mengekang aktiviti tidak bermoral yang menyumbang kepada ekonomi bayangan, kata bekas timbalan pengarah di Jabatan Ekonomi Bank Negara Malaysia.

Turut memudahkan pungutan cukai, Dr Rosli Yaakob berkata ia langkah terbaik untuk mengesan kegiatan haram yang menyumbang kepada ekonomi bayangan (underground economy) seperti pelacuran, pemerdagangan, penyeludupan dan jual beli dadah dan rasuah.

Katanya, saiz ekonomi bayangan pada kadar RM300 bilion yang diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam akan membawa implikasi besar kepada negara jika tidak dibendung.

“Transaksi tanpa tunai banyak dilakukan di kebanyakan negara maju. Oleh itu, bagi membanteras aktiviti ini kerajaan perlu ke arah masyarakat tanpa tunai supaya semua pihak menyimpan wang di dalam bank dan setiap transaksi menggunakan medium tanpa tunai.

“Kegiatan rasuah contohnya, kita terima gaji melalui bank dan dikenakan cukai tetapi pada masa sama terima rasuah yang diserah secara tunai dan semua barang yang dibeli juga secara tunai. Maknanya, cukai tidak dapat dikutip dan kerajaan tidak tahu apa aktiviti lain yang dilakukan,” katanya.


Pengarang :