Datuk Mohamaddin Ketapi (berdiri depan, tengah) bergambar bersama Timbalan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan China Zhang Xu (berdiri depan, dua belas, kiri) selepas majlis perasmian Tahun Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia-China 2020 di Istana Budaya malam tadi. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tun M harap tahun tikus erat hubungan Malaysia-China

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Tun Dr Mahathir Mohamad menyuarakan harapan tahun ini iaitu ‘Tahun Kebudayaan dan Pelancongan’ antara Malaysia dan China akan mempertingkatkan hubungan serta persahabatan dengan signifikan antara kedua-dua negara tersebut.

Perdana Menteri menyatakan hubungan antara kedua-dua negara sudah berakar umbi sejak kurun ke-15 semasa zaman kegemilangan Kesultanan Melaka dan Dinasti Ming serta berkembang sejak itu.

Malah, beliau berkata Malaysia dan China negara pertama di rantau ini menjalinkan hubungan diplomatik atas dasar kepercayaan dan rasa hormat.

“Pada 2018, Perdana Menteri Li Keqiang dan saya sendiri berpendapat itu adalah masa yang baik untuk meraikan hubungan rapat yang dinikmati oleh kedua-dua negara dan memberi tumpuan kepada pertukaran rakyat dengan rakyat menerusi kebudayaan dan pelancongan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Tahun Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia-China 2020, di sini malam tadi.

Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi.

Dr Mahathir berkata seperti kebudayaan kedua-dua negara itu terikat, begitu juga ekonomi mereka.

”Sebagai rekod, pada 1971 perdagangan dua hala Malaysia-China bernilai US$159 juta (RM644.32 juta) dan jumlah itu meningkat hampir 700 kali ganda kepada US$108 bilion(RM437.65 bilion) pada 2018,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata program bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2020 menjadikannya lebih bermakna, sambil berkongsi mengenai aspek kehidupan masyarakat berbilang kaum yang membolehkan negara ini menyaksikan kewujudan pelbagai budaya.

“Saya juga pasti tetamu kami dari China akan dapat mengaitkan dengan banyak amalan, makanan, adat dan budaya dan mungkin dapat mengesan asal usulnya di wilayah tertentu di China.

“Sudah tentu, budaya lain dari India dan penduduk pribumi dari Sabah dan Sarawak mempunyai pengaruh yang signifikan terhadap kebudayaan di Semenanjung dan sebaliknya. Kami berbangga dengan kepelbagaian ini yang berhasil dalam membolehkan kita berkembang,” katanya.

Dr Mahathir juga mengambil peluang untuk mengucapkan kemakmuran, kesihatan, kekayaan dan kebahagiaan kekal kepada kedua-dua rakyat negara itu yang menyambut Tahun Baharu Cina, minggu depan.

”Semoga Tahun Tikus Logam ini melambangkan penegasan semula persahabatan dan kerjasama antara Malaysia-China serta satu langkah permulaan ke hadapan.

Dalam pada itu, Li Keqiang dalam ucapannya yang disampaikan oleh Naib Menteri Pelancongan dan Kebudayaan China, Zhang Xu, berharap program Tahun Kebudayaan dan Pelancongan akan menjadi platform untuk mengembangkan pertukaran budaya dan kerjasama dalam bidang pelancongan.

Selain itu, katanya, ia juga menggalakkan lebih banyak lawatan antara rakyat dan rakyat.

“Kami berharap dapat teruskan persahabatan tradisional ini berdasarkan peningkatan persefahaman dan meletakkan asas sosial yang kukuh bagi perkongsian strategik secara menyeluruh untuk China-Malaysia,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :