AGENDANASIONAL

Usah leka kedudukan CPI terus usaha banteras rasuah

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Kejayaan Malaysia memperbaiki reputasi dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2019 merupakan pencapaian membanggakan namun semua pihak diingat  tidak leka dan terus berusaha membanteras rasuah.

Timbalan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata negara perlu mengekalkan momentum baik itu terutamanya dalam meningkatkan lagi skor atau mata, yang menjadi penentu kedudukan negara dalam indeks berkenaan.

Katanya skor itu diberi berdasarkan beberapa tinjauan dan penilaian pakar, yang melihat kepada pelbagai faktor sesebuah negara termasuk aspek demokrasi, keterbukaan terhadap pelabur asing dan faktor ekonomi.

“Saya yakin kita (Malaysia) mampu menjadi lebih baik lagi…penting untuk kita memahami bagaimana TI membuat pengiraan mata, dan bagaimana kerajaan boleh merangka strategi mendapatkan mata yang tinggi.

“Untuk melonjak naik lagi, setiap aspek atau faktor lain juga perlu naik (diperbaiki)… (misalnya) kita perlu menjadi negara pelabur rasa mudah datang berniaga, dan (menjadi) negara lebih demokratik. Ini bukan usaha satu pihak sahaja tetapi setiap agensi dan kementerian,” katanya.

Malaysia melonjak 10 anak tangga ke kedudukan 51 daripada 180 negara dalam CPI TI untuk 2019, menunjukkan peningkatan dalam menangani rasuah.

Skor Malaysia juga meningkat kepada 53 daripada 100 mata dalam tinjauan CPI peningkatan daripada 47 mata yang diperoleh pada tahun sebelumnya.

Skor dan kedudukan CPI itu berdasarkan 13 tinjauan dan penilaian pakar yang mengukur tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara pada skala daripada sifar (dianggap tinggi rasuah) ke 100 (paling bersih).

-BERNAMA


Pengarang :