Warga emas Lim Seng, 99, atau mesra disapa Po Po sedang menjahit pakaian ketika ditemui Bernama di kediamannya di sebuah rumah kedai di Kampung Cina. Foto BERNAMA
RENCANAWAWANCARA

Usia cecah satu abad bukan penghalang urus diri sendiri

KUALA TERENGGANU, 23 JAN: Berusia hampir satu abad, warga emas ini bukan sahaja mampu menguruskan dirinya sendiri malah masih kuat melakukan pelbagai aktiviti seperti menjahit dan memasak.

Bukan itu sahaja, Lim Seng, 99, atau mesra disapa Po Po (bahasa Mandarin bermaksud nenek) Lim turut ligat bermain Mahjong yang sememangnya memerlukan ketajaman akal fikiran dan daya ingatan yang kuat.

Lim berkata, beliau juga sentiasa mengamalkan pemakanan yang sihat dengan makan banyak sayur untuk sentiasa awet muda dan mengurangkan pengambilan makanan yang berminyak.

“Dahulu saya buka kedai makan dan memang setiap hari kena kerja kuat jadi badan banyak bergerak dan mengeluarkan peluh. Mungkin sebab itu boleh sihat sampai sekarang, katanya ketika ditemui Bernama di kedai makan miliknya yang kini diuruskan anaknya Poh Tik Heng, 70, dan menantu Fu Sek Sue, 63, di Kampung Cina, di sini.

Kini meskipun mengalami masalah penglihatan pada mata kanannya Lim masih mampu berjalan di sekitar Kampung Cina dan bertemu rakan-rakan.

Lim, yang mudah tersenyum dan ketawa itu, turut dikenali dengan sikapnya yang menjaga penampilan setiap hari, walaupun hanya berada di rumah.

Lim Seng, 99, sedang melihat pokok bunganya bagi persiapan awal menjelang Tahun Baharu Cina ketika ditemui Bernama di kediamannya di sebuah rumah kedai di Kampung Cina. Foto BERNAMA

Beliau akan memastikan pakaian yang dipakainya sentiasa kemas, sering mengenakan bedak di muka, memakai minyak wangi dan rambutnya akan disisir serta disanggul rapi.

“Saya tinggal di tingkat atas (tingkat atas kedai makannya), setiap kali hendak turun atau keluar akan ambil masa paling kurang setengah jam untuk bersiap. Sehingga anak saya pun ‘pening’ dengan saya. Mereka cakap saya ‘jangok’ (melawa),” katanya sambil ketawa.

Katanya, meskipun sudah berusia namun ia bukan alasan untuk dirinya mengabaikan penjagaan diri dan penampilan, apatah lagi beliau sememangnya suka berhias sejak muda lagi.

Lim, yang berhijrah ke Terengganu dan tinggal di Kampung Cina sejak 70 tahun lepas setelah mengikut mendiang suami Poh Chew Say yang bekerja membawa kapal laut, turut berkongsi rasa terujanya menantikan kedatangan Tahun Baharu Cina ini.

Walaupun kebanyakan persiapan Tahun Baharu Cina dibuat oleh anak dan cucunya, namun setiap tahun Lim akan menyediakan menu Ayam Kam Heong untuk dinikmati keluarganya pada acara tradisi makan besar nanti.

“Selalunya apabila berkumpul saya selalu beri nasihat kepada ahli keluarga supaya sentiasa hidup dengan baik jangan bergaduh serta tidak sesekali mengeluarkan kata-kata yang tidak elok kepada sesiapa sahaja,” katanya yang mempunyai tiga orang anak, 11 cucu dan enam cicit.

Lim turut mengimbau kenangannya meraikan Tahun Baharu Cina pada masa dahulu yang mana kemeriahannya lebih dirasai berbanding kini.

“Dahulu dua tiga hari sebelum raya akan nampak ramai gadis pakai baju (Cheongsam) cantik-cantik, bersolek dan berkasut tumit tinggi. Tapi orang sekarang lebih gemar memakai pakaian moden yang ringkas dan tidak lagi bersolek.

“Taraf hidup masyarakat pun semakin berubah. Dahulu hendak makan ayam hanya setahun sekali bila raya (Tahun Baharu Cina) sahaja, sekarang hari-hari pun boleh makan ayam,” katanya.

Ditanya mengenai harapan sempena Tahun Baharu Cina ini, Lim berharap beliau terus dikurniakan kesihatan yang baik dan sentiasa bergembira di samping keluarga.

-BERNAMA


Pengarang :