AGENDANASIONAL

Wawasan 2020: Malaysia capai banyak kemajuan

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Walaupun Wawasan 2020 tidak mencapai sepenuhnya seperti dirancang, namun Malaysia mencapai banyak kemajuan dan perubahan berbanding ketika wawasan itu dilancarkan pada 1991, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Walaupun kita tidak capai sepenuhnya tetapi sedikit sebanyak kita capai Wawasan 2020. Kalau dibandingkan Malaysia hari ini dan Malaysia di waktu kita melancarkan wawasan ini pada 1991, kita akan lihat perbezaannya.

“Rakyat lebih makmur, negara lebih makmur dan pembangunan sudah terlihat jelas di seluruh negara, infrastruktur yang lebih baik. Hakikatnya banyak daripada Wawasan 2020 ini sudah dicapai,” katanya dalam segmen Kool Talk di saluran radio Kool fm, pagi ini.

Dr Mahathir berkata apa yang berlaku, Malaysia belum sampai ke tahap yang boleh dikatakan sebagai negara maju kerana ada bidang-bidang tertentu yang kita masih ketinggalan.

Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto BERNAMA

“Dan inilah yang menyebabkan kita akui kita tidak mencapai Wawasan 2020,” katanya.

Perdana Menteri berkata Wawasan 2020 bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara maju, dengan mengatasi sembilan cabaran.

“Untuk menjadi negara maju ini, kita ingin mengatasi sembilan cabaran Wawasan 2020 iaitu negara yang bersatu, masyarakat berjiwa bebas, masyarakat demokratik, masyarakat bermoral dan beretika, masyarakat liberal, masyarakat progresif dan saintifik, masyarakat penyayang, masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi serta masyarakat makmur.

“Inilah tujuan kita, yang kalau kita mencapai tujuan sembilan ini, maka kita akan dianggap sebagai negara maju selain daripada kemajuan dalam bidang lain seperti pelajaran, teknologi, sosial, ekuiti dan sebagainya,” katanya.

Dr Mahathir berharap masyarakat memahami apa sebenarnya cabaran yang digariskan dalam Wawasan 2020 itu.

“Saya harap tidak ada pihak lagi yang bercakap bahawa Wawasan 2020 ini bermakna ada kereta bermotor yang boleh terbang. Itu bukan wawasan kita, itu adalah kemajuan yang dicapai mungkin di negara lain,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :