Penjual barangan dan orang ramai mengenakan topeng pelindung ketika berurusan di pasar di Wuhan, China pada 24 Januari 2020 berikutan wabak koronavirus. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMAGLOBAL

WHO: ‘Terlalu awal’ isytihar darurat kesihatan global

GENEVA, 24 JAN: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis mengatakan “terlalu awal” untuk mengisytiharkan wabak koronavirus baharu di China sebagai darurat kesihatan global, lapor agensi berita Xinhua.

“Hari ini saya tidak mengisytiharkan darurat kesihatan global. Sama seperti semalam, Jawatankuasa Darurat berbelah bahagi sama ada wabak itu mewakili Amaran Darurat Kesihatan Antarabangsa (PHEIC) atau tidak,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang akhbar selepas mesyuarat tertutup jawatankuasa itu.

“Meskipun wabak itu menular di China, tetapi ia belum boleh dianggap darurat kesihatan global,” kata Tedros, sambil menambah penilaian risiko WHO mendapati wabak itu mempunyai risiko sangat tinggi di China dan di peringkat serantau serta global.

“Saya ingin ulangi bahawa hakikat saya tidak mengisytiharkan PHEIC pada hari ini bukan bermakna WHO tidak mengambil serius keadaan itu,” katanya.

Jawatankuasa Darurat itu telah bermesyuarat selama dua hari bagi membincangkan isu berkenaan.

PHEIC ditakrifkan WHO sebagai satu peristiwa luar biasa yang menimbulkan risiko kesihatan awam kepada negara-negara lain, melalui penyebaran penyakit dan memerlukan respon antarabangsa yang selaras.

Tedros berkata sebanyak 584 kes telah dilaporkan kepada WHO, termasuk 17 kematian. Sejumlah 575 kes dan semua kematian dilaporkan di China. Kes lain turut dilaporkan di Jepun, Korea, Singapura, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Tedros berkata China telah mengambil langkah-langkah perlu dan WHO merakamkan penghargaan di atas kerjasama yang diberikan negara itu.

Buat masa ini, WHO tidak mengesyorkan apa-apa larangan perjalanan atau sekatan perdagangan yang lebih menyeluruh dan mencadangkan pemeriksaan keluar di lapangan terbang sebagai sebahagian langkah komprehensif untuk mengekang penularan wabak.

Semua negara harus mengambil langkah untuk mengesan kes-kes koronavirus, termasuk di kemudahan kesihatan, kata Tedros.

– BERNAMA


Pengarang :