Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

WKB 2030 mercu pencapaian, tingkat usaha penuhi komitmen PAKATAN

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Penyediaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) merupakan mercu tanda pencapaian Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) bagi tahun lepas, kata Menterinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, bagi merealisasikan matlamat dan objektif WKB 2030, MEA telah melaksanakan 390 sesi libat urus membabitkan pelbagai pihak dalam penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“2019 merupakan tahun yang produktif bagi MEA untuk terus membingkai muafakat yang utuh atas asas yang kukuh bagi pelaksanaan agenda pembangunan negara.

“Saya bersama seluruh pimpinan dan anggota Kementerian akan terus mempertingkatkan lagi usaha bagi memenuhi komitmen Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) kepada rakyat,” katanya dalam Laporan Pencapaian 2019 MEA yang dikeluarkan hari ini.

WKB 2030 merupakan hala tuju baharu pembangunan negara yang melibatkan penstrukturan semula ke arah ekonomi yang bernilai tinggi selain mengurangkan jurang perbezaan antara kelas pendapatan, kaum, wilayah dan rantaian nilai.

Dokumen WKB 2030 yang cukup menyeluruh dan komprehensif telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 5 Oktober 2019.

Selain itu, Mohamed Azmin berkata MEA juga telah berjaya memenuhi lima janji daripada empat teras secara keseluruhan dan tiga iltizam khusus untuk warga FELDA dalam Buku Harapan yang telah dipertanggungjawabkan kepada kementerian itu yang bertindak selaku peneraju perancangan pembangunan sosioekonomi negara yang mampan, maju dan inklusif.

Kementerian itu juga telah membentangkan Kertas Putih FELDA bagi menyuntik dinamisme baru dan mengatasi kesulitan semasa demi masa depan sebanyak 112,635 peneroka dan keluarga mereka.

Malah, sejajar usaha membela nasib peneroka, bantuan kewangan kerajaan berjumlah RM6.23 bilion dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan telah disediakan di bawah Pelan Pemulihan Felda bagi tempoh 2019-2025, kata beliau.

Menurut laporan itu, baki pinjaman FELDA dengan institusi kewangan telah berkurangan kepada RM6.89 bilion sehingga 31 Disember 2019 berbanding RM7.8 bilion pada 2017.

Baki hutang dengan vendor turut berkurangan sebanyak 60 peratus kepada RM445 juta berbanding RM1.12 bilion pada 2017.

Selain itu, pencapaian lain MEA sepanjang 2019 bagi memacu ekonomi negara termasuk menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM13.05 bilion untuk pembangunan enam negeri kurang membangun – Perlis (RM299 juta), Kedah (RM1.26 bilion), Kelantan (RM1.6 bilion), Terengganu (RM1.13 bilion), Sarawak (RM4.18 bilion) dan ​​​​​​​Sabah (RM4.59 bilion).

Kementerian itu juga berjaya memperkasa pembangunan industri halal negara menerusi kerjasama ekonomi Malaysia-Korea Selatan yang berpaksikan Dasar Pandang Ke Timur 2.0 serta penstrukturan semula agenda pembangunan industri halal negara melalui Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH).

MEA turut memperkasa aktiviti pertanian dan pembangunan pekebun kecil serta tanah berkelompok negara menerusi bantuan peningkatan produktiviti dan pembangunan pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah yang berjumlah RM43.78 juta.

Bagi pembangunan inklusif dalam menangani kemiskinan, MEA telah memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi Program Peningkatan Kapasiti dan Kapabiliti Kumpulan Sasar Khusus dalam kalangan isi rumah B40 melibatkan kira-kira 20,000 orang penerima manfaat tersebut.

Selain itu, lebih RM7.64 juta telah dibelanjakan oleh penerima Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) bagi pembelian barangan keperluan asas bernilai RM250 sebulan dan rawatan kesihatan di klinik swasta bernilai RM500 setahun.

– BERNAMA


Pengarang :