AGENDANASIONAL

Wujudkan pusat pengumpulan, pengagihan makanan di seluruh negara

KAJANG, 21 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhasrat mewujudkan Pusat Pengumpulan dan Pengagihan Makanan (PPPM) bagi Program Food Bank Malaysia (PFBM) di setiap zon di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata setakat ini sebuah PPPM sudah beroperasi di Bukit Angkat, di sini manakala sebuah lagi yang dalam fasa pembinaan dan akan mula beroperasi di Bandar Baharu Kulim, di Kedah, Februari nanti.

“Mini PPPM di Bandar Baharu Kulim dalam pembikinan, sedikit kerja ubah suai dibuat… PPPM di situ lokasinya strategik kerana bersempadan dengan Pulau Pinang, Perak dan Kedah.Oleh itu, kita boleh tumpu operasi di kawasan utara.

“Adalah menjadi harapan kami untuk wujudkan (PPPM) di zon timur, zon selatan, zon tengah, zon utara… tujuannya untuk meningkatkan kecekapan pengedaran barang-barang dan memudahkan penyumbang di setiap zon untuk menderma,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pra-pelancaran PPPM Program Food Bank Malaysia di Bukit Angkat, di sini, hari ini.

PPPM di Bukit Angkat yang beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari itu mempunyai keluasan hampir 4,000 meter persegi (13,000 kaki persegi), dilengkapi kemudahan asas seperti ruangan pejabat, rak penyimpanan yang teratur dan bilik sejuk beku.

PPPM diwujudkan sebagai pusat pengumpulan dan pengagihan makanan sumbangan penderma, dan makanan yang terkumpul di pusat itu akan diagihkan kepada golongan sasar terpilih.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata setakat ini Yayasan Food Bank mempunyai 14 trak satu tan dan lima lagi trak tambahan sumbangan rakan strategik bagi menguruskan pengagihan kepada golongan sasar.

Tambah beliau, Program Food Bank Malaysia bukan hanya mengumpul dan mengagihkan makanan tetapi turut melatih sukarelawan serta menyediakan peluang kepada pelajar untuk menjalani latihan amali.

Menurutnya Program Food Bank Malaysia yang diwujudkan sejak Ogos 2018 telah memanfaatkan kira-kira 480,000 isi rumah di seluruh negara manakala Program Food Bank Siswa pula telah memanfaatkan 12,000 mahasiswa daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

-BERNAMA


Pengarang :