AGENSISELANGOR

YAWAS perluas Riang Ria Dunia Membaca di kampung Orang Asli

SHAH ALAM, 8 JAN: Program Perpustakaan Bergerak ‘Riang Ria Dunia Membaca’ anjuran Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) di perkampungan Orang Asli bakal diperluaskan ke seluruh Selangor bermula Mac ini, kata Gan Pei Nei.

Pengurus Besar YAWAS berkata kampung Orang Asli yang akan mendapat perkhidmatan terbabit adalah Kampung Orang Asli Sungai Buah, Bangi; Kampung Orang Asli Bukit Tampoi, Dengkil dan Kampung Orang Asli Busut Baru, Banting.

“Projek perintis di Kampung Orang Asli Ayer Kuning dan Gombak Batu 12 sebelum ini mendapat sambutan memberangsangkan. Susulan itu kita bercadang untuk menambah bilangan perpustakaan bergerak di beberapa lagi kampung Orang Asli pada tahun ini.

“Setakat ini kita bercadang perkhidmatan ini dilaksanakan mengikut kekerapan sekurang-kurangnya tiga kali setahun dan ketika musim cuti persekolahan,” katanya kepada SelangorKini.

Pei Nei berkata, projek dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu dapat merapatkan jurang aksesibiliti kepada kemudahan membaca antara bandar dan luar bandar.

“Kita juga bercadang mahu bekerjasama dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk membuka perpustakaan mini di kampung terbabit agar dapat menerapkan amalan budaya membaca dalam kalangan masyarakat Orang Asli,” katanya.


Pengarang :