AGENSISELANGOR

Zakat Selangor kongsi kaedah kira zakat ASB

SHAH ALAM, 8 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkongsi kaedah pengiraan zakat pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi mendapatkan jumlah tepat.

Abdul Halim Abu Bakar dari Divisyen Kutipan berkata pengiraan zakat ke atas pelaburan ASB hendaklah mengikut kaedah terkini, sesuai dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri 2019.

“Kaedahnya ialah pelaburan pokok pada akhir tahun dicampur dengan pendapatan pelaburan (dividen dan bonus) yang dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook LZS.

Berikut adalah contoh pengiraan zakat pelaburan mengikut situasi:

Situasi 1:

Ali mempunyai wang di dalam ASB yang mula disimpan pada awal 2017 berjumlah RM100,000. Pada 31/12/2017 beliau ingin menunaikan zakat.

Formula: RM100,000 x2.5%= RM2,500

Nota: Ali masih tidak mengetahui jumlah dividen yang akan diterima.

Situasi 2:

Ali menerima dividen ASB sebanyak RM7,000 pada bulan Januari 2018. Pada 31/12/2018, beliau ingin menunaikan zakat ASB. Duit pokok yang ada ialah RM100,000 sahaja yang dibawa dari 2017.

Formula: [(RM7,000 x 69%) + RM100,000] =RM104,830 x 2.5%= RM2,621

Situasi 3:

Siti membuat pinjaman peribadi sebanyak RM100,000 dengan Bank Islam. Pada awal Januari 2017, beliau melaburkannya dalam ASB. Pada 31/12/2017, beliau ingin menunaikan zakat ASB.

Formula: RM100,000 x 2.5%= RM2,500

Nota: Dividen ASB Siti masih belum dimasukkan ke dalam akaunnya, maka pengiraan zakat ke atas dividen ASB tidak dapat dikira pada tarikh berkenaan.

Situasi 4:

Kamarul menerima dividen ASB sebanyak RM10,000 pada bulan 1 thn 2019. Pada 31/12/2019, beliau ingin menunaikan zakat ASB. Duit pokok yang ada ialah RM170,000 sahaja dan dibawa dari 2018.

Formula: [(RM10,000 x 72%) + RM170,000]

=[RM7,200+RM170,000]

=RM177,200 x 2.5%= RM4,430.00


Pengarang :