AGENDANASIONAL

10 juta penutup hidung dan mulut dibekal dalam seminggu

MELAKA, 21 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjangkakan sebanyak 10 juta penutup hidung dan mulut akan mula dibekalkan pengeluar dalam tempoh seminggu bagi memenuhi permintaan pengguna susulan penularan jangkitan Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pengeluaran penutup hidung dan mulut itu selaras dengan jaminan kerajaan kepada pengeluar terhadap permintaan mereka bagi membantu meningkatkan jumlah pengeluaran daripada biasa ekoran permintaan yang tinggi dan stok di pasaran terjejas.

“Pihak KPDNHEP telah mengadakan pertemuan dengan industri atau pengeluar penutup hidung dan mulut di negara ini bagi mengetahui keupayaan mereka membekalkan produk itu dalam tempoh terdekat dan antara kekangan yang dihadapi ialah pekerja, peraturan melibatkan syif dan pengecualian cukai bagi bahan mentah yang diperoleh dari luar.

“Jadi, saya beri jaminan kepada mereka bahawa kerajaan akan penuhi permintaan mereka dan kita telah berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kewangan agar industri dapat mempercepatkan pengeluaran penutup hidung dan mulut dan bersedia meningkatkan pengeluaran mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Food Bank Siswa Politeknik Melaka Peringkat Negeri Melaka 2020 di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 23 kes membabitkan kesalahan menjual penutup hidung dan mulut melebihi harga kawalan, tidak mempamerkan tanda harga (tiga kes) dan tidak mengenakan apa-apa syarat jualan (lima kes) melibatkan kompaun berjumlah RM62,400 dalam tempoh 29 Januari hingga semalam.

“Peniaga sepatutnya tidak mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dalam situasi ini sebaliknya memainkan peranan bersama-sama membantu memastikan bekalan cukup dan harga tidak dinaikkan.

“Mereka yang menjual topeng muka melebihi harga yang diwartakan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata jumlah penderma Program Food Bank Siswa dijangka meningkat kira-kira 20 peratus berbanding 430 pengeluar atau industri makanan pada masa kini setelah Rang Undang-Undang (RUU) Penderma Makanan 2019 diluluskan pada 9 Oktober tahun lepas.

Katanya setelah RUU itu diluluskan, syarikat pengeluar dan pengedar makanan terkemuka menunjukkan respons positif dengan mereka tampil secara sukarela berbanding pihaknya perlu mencari mereka sebelum ini.

“Justeru, kita menyasarkan untuk memperluaskan Program Food Bank Siswa ke 123 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Swasta, Institut Pendidikan Guru dan politeknik di seluruh negara melibatkan kira-kira 12,300 orang pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata program berkenaan telah memberi manfaat kepada 12,251 pelajar di 21 IPT awam pada tahun lepas.

– BERNAMA


Pengarang :