Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.
AGENDA NASIONAL

13 kertas siasatan dibuka berhubung fitnah koronavirus

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Sejumlah 13 kertas siasatan dibuka berhubung penyebaran berita tidak sahih mengenai penularan kluster novel koronavirus 2019 menerusi laman media sosial, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.

Beliau berkata tiga daripadanya telah mendapat kelulusan untuk dituduh di mahkamah.

Pertuduhan terhadap satu kes dibuat di Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini, manakala dua lagi iaitu masing-masing di Kuala Terengganu, Terengganu dan Sandakan, Sabah akan dituduh nanti katanya.

“Baki kertas siasatan kami sedang menunggu Jabatan Peguam Negara dan saya tidak boleh beritahu tempoh masa lagi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 16 Sempena Tahun Baharu Cina 2020 di Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau sekali lagi memberi amaran keras kepada mereka yang didapati menularkan berita palsu.

“Saban hari kita beri amaran jangan membuat fitnah dan melakukan perkara yang menggugat ketenteraman awam.

“Sekarang ini, jika ada laporan, polis akan menjalankan siasatan untuk membawa individu berkenaan ke muka pengadilan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :