AGENDANASIONAL

158 pemandu mabuk ditahan polis KL sepanjang Januari

KUALA LUMPUR 13 FEB: Seramai 158 individu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol di ibu negara sepanjang Januari, kata Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL), Asisten Komisioner Zulkefly Yahya.

Beliau berkata daripada 158 individu ditahan, 118 kes dituduh di mahkamah dan 40 kes masih dalam siasatan polis.

“Trend pemandu mabuk di ibu negara selalunya berlaku selepas tengah malam dan rekod kes kemalangan membabitkan pemandu mabuk di ibu negara, tahun lalu cuma satu kes, dan tiga kes pada 2018.

“Unit penguatkuasaan JSPT KL ditugaskan menangani masalah pemandu mabuk ini dan kami bertugas 24 jam sehari, serta menjalankan ‘operasi mabuk’ bagi menangani masalah ini, tiada hari tanpa operasi,” katanya kepada BERNAMA dalam temubual khas di Balai Polis Trafik di sini.

Zulkefly berkata, pada 2019 seramai 828 individu ditahan atas kesalahan sama, manakala 735 individu ditahan pada 2018.

Jelasnya, berdasarkan Seksyen 45G (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, had kandungan alkohol ditetapkan untuk pemandu adalah 35 mikrogram alkohol dalam 100 mililiter nafas; 80 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah; atau 107 miligram alkohol dalam 100 mililiter air kencing.

Ditanya mengenai cadangan kerajaan meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, pengaruh dadah serta memandu secara bahaya, Zulkefly berkata perkara itu disambut baik pihaknya.

Beliau berkata, pada masa ini, pemandu cuai di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian, adalah satu kesalahan serius mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan boleh didakwa mengikut Seksyen 44 yang membawa hukuman penjara antara tiga dan 10 tahun dan denda antara RM8,000 dan RM20,000.

“Kami menyambut baik cadangan ini dan percaya kerajaan mempunyai pelan mereka dalam meminda undang-undang berkaitan, supaya ia bersesuaian dengan keadaan semasa,” katanya.

Pada 29 Januari lalu, kerajaan bersetuju untuk meminda undang-undang bagi mengenakan hukuman lebih berat, terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah; serta pemandu yang memandu secara berbahaya hingga mengakibatkan maut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata tiga seksyen dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu Seksyen 41, 44 dan 45 akan dikaji semula, bagi memperketatkan undang-undang sedia ada, dengan hukuman yang lebih berat.

Loke berkata kementeriannya akan memulakan perbincangan dengan pihak berkepentingan, termasuk polis, Peguam Negara dan agensi berkaitan untuk membolehkan pindaan itu dibawa ke Parlimen seawal Julai.

– BERNAMA


Pengarang :