Aksi ceria dua orang pesakit di bawah pengawasan (patient under surveillance) ketika proses keluar dari Pusat Pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) pada 18 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

1,619 individu diambil sampel bagi pengesanan Covid-19

PUTRAJAYA, 29 FEB: Seramai 1,619 individu diambil sampel bagi pengesanan jangkitan penyakit Covid-19 setakat hari ini, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kesemua mereka terdiri daripada pesakit dalam siasatan (PUI), kontak rapat kepada kes positif Covid-19, individu yang tiba melalui Misi Bantuan Kemanusiaan dan kapal persiaran.

“Daripada 1,619 individu diperiksa hanya 1.5 peratus atau 25 kes positif jangkitan dikesan setakat ini,” katanya pada sidang media Covid-19 di Kementerian Kesihatan di sini, hari ini.

Malaysia juga sedang memantau perkembangan kes Covid-19 di dua bandar raya di Jepun iaitu Tokyo dan Sapporo, katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata tiada kes baharu dilaporkan hari ini dan jumlah kumulatif kes kekal sebanyak 25.

Daripada jumlah itu, 22 individu telah pulih sepenuhnya manakala tiga individu yang masih dirawat di hospital berada dalam keadaan stabil.

Menurut beliau, wanita tempatan yang merupakan kes ke-23 dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya, kes ke-24 melibatkan wanita warganegara Jepun pula sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur manakala kes ke-25 lelaki warganegara Itali kini dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata pihaknya akan terus melakukan pengesanan kontak rapat ketiga-tiga kes berkenaan dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

“Bagi kes ke-24, lebih 60 kontak telah dikesan, bagi kes ke-23 kontak adalah keluarga setakat ini tak ada yang positif, kita kesan juga rakan-rakan…kita akan terus kesan kontak rapat mereka,” katanya.

Kata beliau, semua 22 pesakit yang telah sembuh diberikan kaunseling sebelum mereka didiscaj dari wad. Sesi itu antaranya melibatkan penjagaan kesihatan dan kebersihan diri supaya tidak dijangkiti semula.

Mengulas mengenai 66 warganegara Malaysia dan ahli keluarga bukan warganegara dibawa balik dari Wuhan, China pada 25 Februari lalu, beliau berkata kesemua mereka berada dalam keadaan sihat.

Beliau berkata, saringan kesihatan melalui ujian pengesanan Covid-19 semasa ketibaan mendapati semua negatif dan kesemua mereka akan terus berada di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi bagi tujuan pemantauan kesihatan selama 14 hari bermula dari 26 Februari sehingga 11 Mac ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pengamal perubatan di semua peringkat fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta agar langkah-langkah pencegahan serta kawalan infeksi sentiasa berada di tahap yang optimum setiap masa.

-BERNAMA


Pengarang :