AGENDANASIONAL

17 peniaga topeng muka dikompaun RM54,700

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenakan kompaun RM54,700 kepada 17 peniaga yang tidak mempamer dan menaikkan harga topeng muka, kata menterinya.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kompaun dikenakan kepada mereka susulan pemeriksaan ke atas 2,103 premis perniagaan borong dan runcit yang menjual barangan berkenaan di seluruh negara, sejak 25 Januari hingga semalam.

“Kesalahan itu membabitkan 14 kes jualan melebihi harga maksimum manakala bakinya tidak mempamer tanda harga dan KPDNHEP turut merampas topeng muka bernilai RM4,225.50.

“Bahan tersebut adalah barangan terkawal disenarai di bawah Perintah Kawalan Harga (Barang-Barang Harga Terkawal) 2009 dan Perintah Kawalan Harga (Penetapan Harga Maksimum) (No 2) 2009,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pihaknya mempertingkatkan pemantauan di premis menjual topeng muka hingga isu koronavirus 2019 dapat dibendung sebagai langkah mencegah kenaikan harga barang kawalan itu.

Saifuddin Nasution berkata orang ramai diminta peka dan mengemukakan aduan secara terus kepada sembilan saluran disediakan KPDNHEP, termasuk WhatsApp di talian 019-2794317 berhubung perkara berkenaan.

Antara topeng muka ditetapkan di bawah kawalan harga:
-Topeng muka (pembedahan/perubatan) satu lapisan gelung telinga RM5 sekotak pada harga borong dan RM7 sekotak pada harga runcit
-Topeng muka (pembedahan/perubatan) dua lapisan gelung telinga RM8 sekotak pada harga borong dan RM10 atau RM 0.20 sen seunit pada harga runcit
-Topeng muka (pembedahan/perubatan) tiga lapisan gelung telinga/gelung kepala RM25 sekotak pada harga borong dan RM0.80 sen seunit pada harga runcit


Pengarang :