AGENDABERITA UTAMANASIONAL

2 Mac bakal lakar sejarah politik negara

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Tanggal 2 Mac 2020 bakal melakar sejarah politik negara apabila Dewan Rakyat memainkan peranan penting sama ada memilih seorang Perdana Menteri baharu atau berdepan pilihan raya umum mengejut bagi menyelesaikan kemelut arena politik semasa.

Pada hari tersebut, Sidang Khas Dewan Rakyat akan memilih Perdana Menteri baharu susulan peletakan jawatan oleh Tun Dr Mahathir Mohamed, Isnin lalu, yang menyaksikan negarawan itu dilantik sebagai Perdana Menteri interim oleh Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dr Mahathir berkata selepas proses temu bual dengan semua Ahli Parlimen pada Selasa dan Rabu, baginda tidak menemui mana-mana individu memperoleh majoriti yang jelas untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

Pada sidang media selepas membentang Pakej Rangsangan Ekonomi 2020, di Putrajaya semalam, pemimpin berusia 94 tahun itu berkata Seri Paduka memberikan tanggungjawab kepada Dewan Rakyat untuk memilih Perdana Menteri baharu.

Seandainya gagal mendapatkan calon yang mendapat sokongan majoriti, maka Parlimen akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum mengejut, katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir telah menghadap Al-Sultan Abdullah di Istana Negara.

Susulan peletakan jawatan oleh Dr Mahathir dan penarikan diri parti yang dipimpinnya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), daripada Pakatan Harapan (Pakatan) menyebabkan kerajaan pimpinan pakatan itu kehilangan majoriti kerusi dalam Dewan Rakyat.

Bersatu dengan 26 Ahli Parlimen dan 11 Ahli Parlimen daripada KEADILAN, iaitu sekutu Pakatan, mengambil keputusan untuk keluar daripada pakatan tersebut.

Selepas melepaskan jawatan sebagai pengerusi Bersatu, Isnin lalu, Dr Mahathir mengumumkan bahawa beliau kembali semula sebagai pengerusi parti itu, semalam.

Ekoran pengumuman Bersatu keluar daripada Pakatan, maka kedudukan kerajaan Pakatan di Johor turut terjejas dengan Istana Johor mengumumkan satu gabungan baharu diwujudkan bagi membentuk kerajaan negeri selepas ia mendapat sokongan majoriti daripada 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) berbanding 26 Adun yang memilih Pakatan Harapan (Pakatan).

Dalam pada itu, gabungan Pakatan di Melaka dan Kedah mengumumkan kekal dengan status quo sedia ada.

Sementara itu, Indeks utama Bursa Malaysia, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup lebih tinggi selepas dipacu pakej rangsangan ekonomi diumumkan Dr Mahathir.

Pada penutup, indeks bursa mengukuh sebanyak 10.40 mata kepada 1,505.59 berbanding dengan 1,495.19 yang direkodkan kelmarin.

-BERNAMA


Pengarang :