SHAH ALAM, 1 FEB: Worldwide Holdings Berhad (WHB) hari ini menganjurkan ‘Enviro Battlefield Challenge 2020’ bagi memupuk kesedaran pentingnya penjagaan alam sekitar serta amalan gaya hidup sihat dalam kalangan peserta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata seramai 200 peserta menyertai program bertemakan ‘Green’ di Taman Botani Negara Shah Alam.
“Program tanggungjawab sosial korporat ini disertai wakil pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah, agensi kerajaan, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) serta anak syarikat, media, institusi pengajian tinggi dan sekolah.
“Ia turut menerima penyertaan wakil penduduk yang tinggal di kawasan pembangunan WHB di Subang Bestari dan Puncak Bestari,” katanya.
Norazlina berkata semua peserta berjalan kaki melebihi 10,000 langkah mengelilingi Taman Botani, selain menyelesaikan tugasan aktiviti yang diberikan.
Katanya, program ini turut menekankan beberapa pendedahan cadangan pelaksanaan teknologi pengurusan sisa pepejal dan juga penekanan aktiviti penggunaan bahan kitar semula.