Timbalan Setiausaha Kerajaan Selangor (Pengurusan), Dato’ Zamani Ahmad Mansor menyampaikan anugerah kepada Azman Sajadi pada majlis Penghargaan dan Anugerah perkhidmatan Cemerlang MDKL 2019 di Dewan Seri Jugra, Banting pada 28 Februari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

33 kakitangan, 13 Ahli Majlis MDKL terima anugerah dan sijil

KUALA LANGAT, 28 FEB: Seramai 33 pegawai dan kakitangan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) daripada pelbagai jabatan serta bahagian menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 hari ini.

Majlis di Dewan Sri Jugra, Telok Datok di sini turut menyaksikan 13 Ahli Majlis dianugerah sijil penghargaan bagi perkhidmatan melebihi lima tahun.

Anugerah disampaikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan), Dato’ Zamani Ahmad Mansor dengan diiringi Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid.

Zamani Ahmad dalam ucapannya berkata anugerah sebagai tanda pengiktirafan ke atas perkhidmatan warga kerja yang banyak berjasa dan menyumbang kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

“Panel pemilih mendapati ramai layak namun hanya yang terbaik dipilih. Bagi mereka yang tidak terpilih saya menyeru supaya dapat meningkatkan lagi kreativiti, produktiviti dan muhasabah diri untuk memperbaiki mutu perkhidmatan,” katanya.

Beliau juga mengajak seluruh warga kerja MDKL terus memberi kerjasama kepada Kerajaan Negeri dalam menyempurnakan hala tuju dan kejayaan pentadbiran.

“PBT memainkan peranan penting dalam melaksanakan dasar kerajaan untuk memastikan penduduk atau pembayar cukai mendapat pulangan seperti diharapkan,” katanya.

Seorang pesara, Azman Sajadi yang sudah berkhidmat lebih 20 tahun sebagai pelukis pelan (senibina) di Jabatan Perancangan Pembangunan MDKL mengakui banyak pengalaman manis dilalui sepanjang tempoh itu.

“Saya banyak belajar berkaitan perancangan pembangunan dan mendengar arahan ketua jabatan. Jadi, keseluruhan (pelan pembangunan) daerah ini di bawah tanggungjawab saya,” katanya.

Siti Julaiha Sukur

Sementara itu, Siti Julaiha Sukur, 27, bersedia menggalas cabaran lebih besar dan memberi komitmen terbaik sebagai pembantu tadbir lebih-lebih lagi selepas status Kuala Langat berubah kepada perbandaran pada 1 Mac ini.

“Sudah tentu orang ramai akan memberi harapan tinggi, jadi kena bekerja lebih keras dan banyak bersabar dengan kerenah mereka,” katanya yang sudah berkhidmat lima tahun di Jabatan Khidmat Pengurusan.


Pengarang :