BERITA UTAMANASIONAL

39 peratus kes dera dilakukan ibu kandung

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Tanggapan yang sering mengaitkan ibu tiri dengan sifat yang negatif mungkin tidak lagi sesuai pada masa kini apabila rekod penderaan kanak-kanak pada tahun lepas mendapati lebih 39 peratus atau 192 kes daripada 685 kes dera, dilakukan ibu kandung.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, mendapati golongan bapa mencatatkan 158 kes atau 32 peratus, pihak pengasuh taska atau penjaga pusat jagaan melibatkan 29 kes (enam peratus), manakala kes yang melibatkan ibu tiri hanya tiga peratus atau 15 kes sahaja.

Timbalan Menteri berkenaan Hannah Yeoh berkata jumlah itu antara kes yang diperoleh daripada 25,868 panggilan yang diterima menerusi Talian Kasih 15999 sepanjang tahun lepas.

“Sepanjang tahun lepas sahaja panggilan yang diterima menerusi Talian Kasih meningkat lebih 70 peratus berbanding 15,046 panggilan tahun 2018 dan ini menunjukkan semakin ramai orang awam sedar dengan perkhidmatan yang disediakan ini.

“Panggilan tertinggi yang dicatatkan adalah melibatkan penderaan kanak-kanak dan masalah keganasan rumah tangga termasuk mangsanya melibatkan golongan lelaki,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) ‘Kesedaran Kanser Kanak-Kanak’ antara Persatuan Kebajikan Ronald McDonalds (RMHC) dan Lions Club International di Rumah McDonald (RMH) Hospital Canselor Tunku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia di sini.

Pada majlis itu, Yeoh turut merasmikan Lions Wonderland yang turut dihadiri Gabenor Daerah, Kelab Lions Antarabangsa Malaysia Datuk Javern Lim Chong Hee dan Presiden Persatuan Kebajikan Ronald McDonalds (RHMC) Malaysia Azmir Jaafar.

– BERNAMA


Pengarang :