Selangorkini
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

97.59 peratus calon STPM Selangor lulus penuh

SHAH ALAM, 26 FEB: Seramai 4,647 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di negeri ini tahun lalu berjaya lulus penuh, kataTimbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Jabatan Pelajaran Selangor.

Muhamad Radzi Abdullah berkata jumlah itu membabitkan 97.59 peratus daripada jumlah keseluruhan calon seramai 4,762, lapor BH Online.

“Gred Purata Negeri yang diperoleh ialah 2.63. Calon yang mencapai purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 seramai 59 orang tahun lalu, berbanding 51 orang pada 2018.

“Sementara itu, seramai 1,615 orang calon sekolah berjaya memperolehi PNGK 3.00 dan ke atas.

“Daripada 43 sekolah yang terbabit dalam STPM di Selangor, sebanyak 14 sekolah mencapai 100 peratus calon lulus penuh,” katanya dalam kenyataan semalam.

Muhamad Radzi berkata, secara keseluruhannya, 14 mata pelajaran menunjukkan peningkatan peratus pencapaian, berbanding pencapaian 2018.

“Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) di Klang mendahului pencapaian sekolah lain di Selangor.

“JPN Selangor juga berbangga dengan peningkatan pencapaian kualiti bagi sekolah luar bandar, khususnya dari daerah Sabak Bernam dan daerah Hulu Selangor,” katanya.


Pengarang :