AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Abam Bocey meninggal dunia, MB rakam takziah

SHAH ALAM, 10 FEB: Selebriti dan pelawak terkenal, Abam Bocey disahkan meninggal dunia pagi ini.

Berita sedih itu dikongsikan dua rakan seperjuangan dalam kumpulan Bocey, Mohd Nasir Hamzah atau lebih dikenali Achey dan Fadzlie Mohd Nizam atau Fad menerusi Instagram.

Kematian mengejut Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey, 32, juga mendapat perhatian Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang merakamkan takziah kepada ahli keluarga dan sahabat Allahyarham.

“Moga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga penuh nikmat.

“Sumbangan beliau dalam menceriakan industri hiburan tanah air akan sentiasa dikenang. Al-Fatihah,” katanya menerusi hantaran di Twitter.

Kematian Abam difahamkan akibat demam, kata adiknya Ali Puteh, lapor mStar.

Allahyarham meninggalkan isteri, Nor Hidayah Mohd Ali dan anak, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey.

Beliau mula menyertai pertandingan Maharaja Lawak Mega sejak 2013 pernah muncul juara dua kali pada 2015 dan 2016 selain tempat ketiga (2019).


Pengarang :