Halimey Abu Bakar berucap sempena Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Dun Seri Setia di Giant Hypermarket Kelana Jaya, Petaling Jaya pada 16 Februari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN: Fokus selesai isu PPR Lembah Subang

PETALING JAYA, 16 FEB: Penyelesaian isu pengurusan Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang untuk kesejahteraan penduduk menjadi fokus utama ahli dewan negeri Seri Setia .

Halimey Abu Bakar berkata komitmen itu perlu dilaksanakan sebaik mungkin walaupun PPR terbabit akan diambil alih Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) bagi pihak Kerajaan Negeri.

“Justeru, tumpuan kita ialah harus membantu Kerajaan Negeri (menyelesaikan isu pengurusan dan pelepasan tapak PPR Lembah Subang) pada masa akan datang.

“Saya yakin kerjasama antara pihak parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) dapat membantu masyarakat yang terpinggir,” katanya pada Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat DUN Seri Setia di Giant Hypermarket Kelana Jaya di sini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.

Pada masa sama, Halimey berkata pihaknya menawarkan perkhidmatan Klinik Khidmat Masyarakat bagi memudahkan urusan penduduk setempat menghantar borang dan membuat sebarang permohonan.

“Perkhidmatan ini akan beroperasi pada Khamis minggu pertama dan ketiga setiap bulan bermula dari 10.30 pagi hingga 1 tengah hari.

“Untuk minggu ketiga, ia melibatkan penyertaan Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” katanya.


Pengarang :