ADN SELANGOR

ADN Subang Jaya sedia jadi pendamai isu video tular

SUBANG JAYA, 14 FEB: Ahli Dewan Negeri Subang Jaya bersedia menjadi orang tengah bagi jalan penyelesaian antara anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan seorang warga emas dalam kejadian berlaku di USJ9 di sini petang semalam.

Michelle Ng Mei Sze berkata kedua-dua pihak perlu tampil memberi penjelasan dan berdamai supaya mengelak kes berkenaan terus menjadi bualan warga maya setelah tular di media sosial.

“Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya menganggap patut menjadi pengajaran kepada semua dan tidak mahu lagi ia berulang,” katanya mengulas isu video tular membabitkan anggota penguat kuasa MPSJ dengan bertindak terhadap kenderaan milik seorang warga emas.

Video memaparkan petugas MPSJ meminta lelaki itu tidak berkeras namun sebaliknya berlaku apabila dipukul dengan payung lalu beliau menumbuk serta menjatuhkan warga emas tersebut ke lantai hingga cedera berdarah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman mengesahkan sudah menerima laporan daripada anggota penguat kuasa terlibat serta kes disiasat di bawah Seksyen 186, Seksyen 332 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Beliau turut meminta warga maya menghentikan penyebaran video terbabit bagi mengelak spekulasi negatif dalam kalangan masyarakat.


Pengarang :