Foto ihsan – Facebook Majlis Agama Islam Selangor
AGENSISELANGOR

Agensi agama Islam bertanding 12 sukan

SHAH ALAM, 21 FEB: Sebanyak 12 acara akan dipertandingkan pada Kejohanan Sukan Agensi Islam Negeri Selangor dan Anak Syarikat Mais (Kesumas) 2020 dianjurkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada September ini, kata pengerusinya.

Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi berkata antara acara sukan pada temasya dwitahunan edisi keenam itu ialah sukan futsal, bola jaring, bola tampar, ping pong dan sepak takraw.

“Kesumas melibatkan penyertaan agensi terdiri daripada Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Mufti Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor dan Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor serta dimeriahkan dengan penyertaan syarikat Mais.

“Kejohanan ini dihoskan secara bergilir-gilir antara Mais, agensi Islam Selangor dan anak syarikat di bawah pengurusan agensi kami,” katanya pada Majlis Malam Jalinan Ukhuwah Pengerusi Mais di Hotel Concorde di sini pada 18 Februari lalu.

Katanya, ia sebagai medium mengeratkan hubungan silaturrahim antara semua pegawai agensi agama Islam di samping menggalakkan daya saing sihat.


Pengarang :