Wakil persatuan penduduk MBPJ, Lim Chin Chye hadir ketika Sesi Pendengaran Awam “Penilaian Prestasi PBT dan Ahli Majlis” di Bangunan Annex, Shah Alam pada 20 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Ahli majlis digesa kerap turun padang, dengar masalah penduduk

SHAH ALAM, 20 FEB: Ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa kerap turun padang bagi mendengar dan menyelesaikan masalah penduduk.

Wakil penduduk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) SS25A Petaling Jaya, Lim Chin Chye berkata ahli majlis perlu menggunakan pelbagai medium untuk berkomunikasi bukan bergantung kepada media sosial atau elektronik sahaja.

“Penduduk Petaling Jaya ada pelbagai lapisan umur dan latar belakang pendidikan malah ada yang lebih gemar berinteraksi secara langsung dengan ahli majlis,” katanya.

Beliau menjadi saksi sesi pendengaran awam ‘Penilaian Prestasi PBT dan Ahli Majlis Negeri Selangor’ oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) di Bangunan Annex di sini, hari ini.

Selcat dipengerusikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan Ng Suee Lim manakala ahli jawatankuasa terdiri ADN Hulu Kelang Saari Sungib, ADN Banting Lau Weng San, ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin, ADN Sungai Air Tawar Rizam Ismail dan ADN Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

Sementara itu wakil penduduk Zon 5 Damansara Utama, Habeeb Rahman Anwardeen berkata ahli majlis berperanan sebagai penghubung antara penduduk dengan PBT.

“Ahli majlis perlu menjadi lebih interaktif dan senang dihubungi persatuan penduduk pada bila-bila masa,” katanya.


Pengarang :