AIM turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan produk Sahabat dalam aspek pembungkusan dan pemasaran supaya mereka mampu mencapai pasaran lebih luas. Foto BERNAMA
AGENDAEKONOMINASIONAL

AIM peruntuk RM2.7 bilion bantu usahawan B40

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memperuntukkan RM2.7 bilion tahun ini sebagai pembiayaan mikro bagi membantu usahawan golongan berpendapatan rendah (B40) untuk mengembangkan perniagaan.

Pengarah Urusan AIM Mohamed Shamir Abdul Aziz berkata peruntukan itu dapat dimanfaat 380,000 Sahabat (peminjam AIM).

“Pada tahun ini, kita menyasarkan untuk membantu lebih 56,000 Sahabat yang berdaftar dengan agensi itu keluar daripada kancah kemiskinan.

“Daripada jumlah itu, 95 peratus adalah kumpulan miskin manakala lima peratus merupakan miskin tegar berpendapatan RM600 dan ke bawah,” katanya.

Beliau berkata AIM turut memiliki dana dikenali sebagai Dana Faedah Korporat, yang sebelum ini dimanfaatkan untuk kegunaan umum, termasuk membeli kerusi dan meja dewan komuniti.

“Pada tahun ini, kita buat kelainan, dana itu ditukar untuk kegunaan golongan miskin tegar yang dilihat mampu mengurangkan beban sekali gus mampu mengubah nasib masyarakat berpendapatan rendah ke tahap lebih baik,” katanya.

Beliau berkata AIM terus aktif mendidik Sahabat menguasai teknologi dan mengambil peluang mengembangkan perniagaan mereka melalui Sahabat Bazar, platform perniagaan dalam talian yang membolehkan mereka mempromosi serta menjual produk secara maya.

-BERNAMA


Pengarang :