Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman bersama Ketua Penolong Pesuruhjaya Kanan SPRM Mohamad Tarmize bin Abdul Manaf serta 16 ketua jabatan Air Selangor menunjukkan plak Ikrar Bebas Rasuah yang ditandatangani pada 4 Februari lalu. Foto AIR SELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Air Selangor ikrar bebas rasuah

SHAH ALAM, 10 FEB: Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) melafazkan Ikrar Bebas Rasuah pada 4 Februari lalu bagi menjadi organisasi berintegriti tinggi, kata ketua komunikasi korporatnya.

Abdul Halem Mat Som berkata komitmen dizahirkan menerusi dasar kerja berpasukan, keikhlasan, profesionalisme dan perkhidmatan terbaik.

“Polisi tiada hadiah dan pemberi maklumat, pengisytiharan konflik kepentingan, perjanjian integriti perolehan dan garis panduan bukan pakatan adalah langkah awal dipraktikkan,” katanya dalam kenyataan.

Lafaz di hadapan Pengarah Bahagian Pendidikan Komuniti, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Razim Mohd Noor di ibu pejabat Air Selangor turut disertai pengurusan kanan Air Selangor.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman berkata pihaknya bertanggungjawab mematuhi ikrar untuk mengelak daripada menerima atau memberi sebarang jenis rasuah.

Beliau berkata siri jelajah antirasuah dalam kalangan warga kerja juga akan diadakan selama tiga bulan bermula Februari ini.


Pengarang :