Kira-kira 1,800 hadir pada Majlis Temu Mesra Rakan Niaga Bersama CEO di Pusat Konvensyen Setia City pada 20 FEB 2020. Foto: MUZAMMIL
AGENSISELANGOR

Air Selangor: RM30 bilion sehingga 2050 pastikan bekalan terjamin

SETIA ALAM, 20 FEB: Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memperuntukkan RM30 bilion di bawah perbelanjaan modal (Capex) bagi melaksanakan tujuh pelan strategik dan inisiatif untuk tempoh 30 tahun bermula 2020 sehingga 2050, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Suhaimi Kamaralzaman berkata pelaksanaan itu termasuk menaik taraf aset, mengurangkan kadar air tanpa hasil dan memastikan bekalan mencukupi untuk semua sepanjang tempoh berkenaan.

“Kita berharap rakan niaga khususnya kontraktor, pembekal dan juru perunding membawa inovasi serta teknologi baharu lebih efisien dalam segala tugasan dilaksanakan,” katanya pada Majlis Temu Mesra Rakan Niaga Bersama CEO di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Terdahulu, kira-kira 1,800 rakan niaga turut serta pada pertemuan bertujuan memberi ruang kepada Air Selangor berinteraksi secara langsung dengan semua pihak berkaitan.

Majlis sama turut menyaksikan semua rakan niaga Air Selangor melafazkan dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suhaimi berkata pertemuan itu sebagai medium menyampaikan misi, visi, strategi perniagaan serta sasaran pihaknya sepanjang tahun ini dan seterusnya.


Pengarang :