Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Ambil iktibar insiden kanak-kanak tercampak dari kereta – Loke

PELABUHAN KLANG, 13 FEB: Insiden seorang anak kecil tercampak keluar daripada kereta dipandu bapanya di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Senawang, Negeri Sembilan pada Isnin lepas sepatutnya dijadikan pengajaran kepada semua ibu bapa betapa pentingnya penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata penggunaan CRS dengan betul dapat memastikan kanak-kanak berada dalam keadaan selamat sepanjang pemanduan dan tidak tercampak keluar daripada kereta sekiranya berlaku kemalangan.

“Dalam insiden itu, kanak-kanak berkenaan bernasib baik kerana kereta di belakangnya sempat berhenti. Bayangkan jika (kereta) tidak sempat berhenti, tidakkah mereka (ibu bapa kanak-kanak itu) akan berasa kesal sepanjang hayat?

“Saya harap insiden ini akan beri pengajaran kepada semua mengenai kepentingan penggunaan CRS,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai insiden berkenaan hari ini.

Terdahulu, beliau melakukan lawatan kerja ke Terminal Boustead Cruise Center dan tapak pameran Pemeriksaan Awam Projek ECRL di Lembaga Pelabuhan Klang di sini.

Tambah Loke, walaupun kementeriannya sentiasa memberi penekanan terhadap penggunaan CRS, namun ia tidak bermakna pihaknya tidak melihat perkara lain yang boleh menjadi punca kemalangan termasuk memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Kemalangan biasanya membabitkan pelbagai faktor. Warganet mempersoalkan mengapa saya hanya bercakap mengenai kerusi keselamatan kanak-kanak sedangkan kita juga akan memperketatkan undang-undang membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan cadangan kementeriannya untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan hukuman terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut, beliau berkata pihaknya sedang menunggu draf pindaan berkenaan daripada Pejabat Peguam Negara.

Katanya, draf berkenaan akan terlebih dahulu dibawa ke mesyuarat Kabinet sebelum dibaca untuk kali pertama.

“Selepas bacaan kali pertama, kementerian akan umumkan mengenainya. Bagaimanapun, saya tidak boleh beritahu bila tarikh bacaan pertama ini akan dibuat kerana ia melibatkan proses tertentu.

“Namun, apa yang ingin saya tegaskan adalah pindaan ini akan mengenakan hukuman lebih berat terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah jika mereka terlibat dalam kes yang menyebabkan kemalangan maut,” katanya.

Kebelakangan ini, masyarakat mendesak kerajaan meminda akta sedia ada dan mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu mabuk sehingga mengakibatkan berlakunya kemalangan maut.

Sebelum ini, Loke dilaporkan berkata Kabinet bersetuju untuk meminda undang-undang sedia ada berkaitan kesalahan pemandu yang memandu kenderaan dalam keadaan mabuk, di bawah pengaruh dadah serta memandu secara berbahaya.

– BERNAMA


Pengarang :