Kakitangan perubatan mengenakan pakaian perlindungan ketika merawat pesakit terkena jangkitan Covid-19 di sebuah hospital di Wuhan pada 25 Januari 2020. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMAGLOBAL

Angka korban Covid-19 di China lepasi 1,500

SHAH ALAM, 15 FEB: Jumlah korban akibat Covid-19 di China melepasi 1,500 orang, selepas Hubei mencatatkan 139 kematian baharu hari ini.

Suruhanjaya kesihatan wilayah itu juga melaporkan 2,420 kes baharu wabak, menjadikan jumlah keseluruhan kes di kawasan tersebut sebanyak 54,406, lapor The Straits Times.

Jumlah kes di China keseluruhannya melebihi 66,000 setakat ini.

Beijing, ibu kota republik itu semalam mengenakan kuarantin selama 14 hari kepada penduduknya yang pulang dari bercuti sebagai langkah pencegahan penularan wabak dan mengancam akan menghukum mereka yang gagal mematuhi arahan tersebut.

Bagaimanapun, peraturan itu tidak dimaklumkan sama ada akan terpakai kepada bukan pemastautin Beijing atau orang asing yang tiba dari luar negara.

Sementara itu, seorang pegawai China dalam temu bual dengan Reuters mengakui Covid-19 adalah satu cabaran yang besar, namun mempertahankan usaha negaranya menguruskan wabak tersebut selain mengkritik tindakan “berlebih-lebih” negara lain.


Pengarang :