AGENDANASIONAL

APM mohon kenaikan elaun anggota

IPOH, 22 FEB: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berharap kerajaan menaikkan kadar elaun agensi berkenaan, seperti yang diterima anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Roslan Wahab berkata pihaknya menghantar permohonan kenaikan elaun kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), hujung tahun lalu.

“APM sudah majukan permohonan kepada JPM dan JPA supaya elaun yang diterima Rela, dipanjangkan kepada semua badan uniform.

“Kalau ikut semangat sukarelawan apabila satu-satu agensi menerima kenaikan elaun, yang lain juga akan terima seperti Pasukan Simpanan Tentera Darat dan Sukarelawan Simpanan Polis. Jadi kalau Rela terima sepatutnya yang lain juga terima,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Perhimpunan Setia APM 2020 di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Dalam Belanjawan 2020, kerajaan mengumumkan kenaikan elaun RM2 sejam kepada anggota Rela.

Menurut Roslan, elaun anggota APM ketika ini adalah RM6 sejam dan pihaknya berharap kadar itu dinaikkan RM2 kepada RM8 sejam.

Ditanya mengenai status pemberian caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada 4,200 sukarelawan sepenuh masa, Roslan berkata ia masih di peringkat kajian.

“Perkeso sedang mengkaji prosedur dan skim yang sesuai kerana anggota berkenaan adalah sukarela dan bukannya berstatus tetap,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :