AGENDANASIONAL

APMM Selangor patahkan cubaan seludup kulit ular, biawak

PELABUHAN KLANG, 16 FEB: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup kulit ular dan biawak, di 0.3 batu nautika utara daripada Sungai Chondong Besar, dekat sini, semalam.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim Selangor Kapten Mohammad Rosli Kassim, berkata dalam rampasan pada kira-kira pukul 11.45 pagi itu, 12 bungkusan kulit ular, 18 bungkusan kulit biawak dan 20 guni minuman tenaga Extra Joss berjaya dirampas, bersama bot ‘barter trade’ yang digunakan penyeludup berkenaan.

“Selain daripada kulit ular dan biawak berkenaan, pemeriksaan APMM ke atas bot turut mendapati ia membawa muatan yang tiada dokumen sah dan pengisytiharan daripada Kastam, antaranya 5,040 botol minyak balsam dan 30 guni kulit kayu manis dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM479,740 termasuk bot.

“Ketika bot penguatkuasa mengiringi bot tersebut sehingga ke jeti untuk pemeriksaan lanjut, seramai 11 orang dipercayai sempat melarikan diri dan hanya seorang lelaki berjaya ditahan,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Tambahnya, individu berkenaan berumur dalam lingkungan 50an, warganegara Indonesia dan akan ditahan reman selama dua minggu.

Mohammad Rosli berkata, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, kerana barang dibawa tiada dalam dokumen; dan Akta Perdagangan Spesies Terancam Antarabangsa 2008, kerana membawa masuk spesis terjadual tanpa permit.

“Individu berkenaan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta dan penjara tujuh tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya percaya anak kapal yang melarikan masih di dalam negara dan akan memburu sindiket yang terlibat.

– BERNAMA


Pengarang :