Selangorkini
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Arab Saudi gantung kemasukan jemaah umrah, pelancong

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Arab Saudi menggantung sementara kemasukan jemaah umrah dan aktiviti melawat Masjid Nabawi sebagai langkah pencegahan proaktif untuk menyekat penularan wabak Covid-19, kata Kementerian Luar pada Rabu.

Saudi Press Agency (SPA) melaporkan kerajaan negara itu turut menggantung sementara kemasukan kepada pelawat yang memiliki visa pelancong dari negara yang terjejas dengan Covid-19, berdasarkan kriteria ditetapkan pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi.

Kementerian Luar Arab Saudi menegaskan usaha memerangi penularan virus itu dilaksanakan melalui pihak berkuasa kesihatan berkaitan, dengan menerapkan piawaian antarabangsa, selain menyokong usaha yang dilakukan negara serta organisasi antarabangsa, terutamanya Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Penggantungan itu juga berkuat kuasa untuk penggunaan kad pengenalan (selain pasport) untuk perjalanan masuk dan keluar dari Arab Saudi.

“Pengecualian hanya dibenarkan untuk warga Saudi yang meninggalkan Arab Saudi dengan menggunakan kad pengenalan mereka atau rakyat negara Majlis Kerjasama Teluk yang ingin kembali dari Arab Saudi selepas masuk ke negara itu,” katanya.

Arab Saudi menegaskan semua langkah itu adalah bersifat sementara dan tertakluk kepada penilaian berterusan pihak berkuasa berkaitan.

Kerajaan Arab Saudi turut menyuarakan sokongan berterusannya terhadap semua langkah pencegahan yang diambil di peringkat antarabangsa untuk mengekang penyebaran virus itu, dan menggesa rakyatnya sentiasa berhati-hati sebelum melakukan sebarang perjalanan ke negara terjejas wabak Covid-19.

– BERNAMA


Pengarang :