Siti Zubaidah Abd Jabar bergambar bersama peserta pada Majlis Sumbangan Pakej Jahitan kepada Asnaf Fakir Miskin di ibu pejabat Teras di Taman Klang Sentral pada 27 Februari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Asnaf gembira terima sumbangan mesin jahit

KLANG, 28 FEB: Sumbangan dua set mesin jahit oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kepada asnaf menyuntik semangat golongan itu untuk menjana pendapatan tambahan.

Salah seorang penerima, Norsyam Mohd Yaakob, 37, berkata minatnya terhadap jahitan bermula sejak usia 16 tahun, namun belum berpeluang membeli mesin jahit sendiri kerana kekangan kewangan.

Norsyam Mohd Yaakob

“Selama ini saya jahit pakaian menggunakan mesin jahit rakan kerana tidak mampu beli. Alhamdulillah sumbangan ini memudahkan kerja saya kerana tidak perlu meminjam lagi,” katanya.

Rafiah Rahmat, 44, pula berkata mesin jahit yang diterima menjadi pembakar semangat kepadanya untuk mengembangkan lagi perniagaan sedia ada.

“Terima kasih kepada PKNS dan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras) atas sumbangan ini dan saya tekad untuk keluar dari kepompong kemiskinan dengan mengembangkan perniagaan serta mengikuti semua kursus disediakan selama enam bulan,” katanya yang menetap di Setia Alam.

Hasni Abd Wahab

Sementara itu, Hasni Abd Wahab, 41, tekad membantu meningkatkan ekonomi keluarga dan tidak hanya membiarkan suaminya sahaja mencari pendapatan.

“Suami sokong saya bergiat aktif dalam bidang jahitan dan selama lebih dua tahun menceburinya, keuntungan jualan juga semakin meningkat,” kata ibu kepada enam orang anak.

Semalam, PKNS menyumbang RM50,000 kepada Teras bagi membantu meningkatkan taraf hidup 10 usahawan asnaf melalui pembelian dua jenis mesin jahit.


Pengarang :