Adi Faizal Ahmad Tarmizi ditemui selepas penyampaian insentif kepada pemenang pingat kejohanan Sukan Orang Pekak Malaysia 2018 di pejabat MSN pada 10 Februari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Atlet pekak dan bisu jadi ikon OKU

SHAH ALAM, 10 FEB: Atlet pekak dan bisu diangkat sebagai ikon orang kelainan upaya (OKU) atas kebolehan meletakkan diri pada peringkat lebih tinggi, kata pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor.

Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata usaha itu menjadi pemangkin kepada OKU lain untuk keluar dari kepompong dan mempamerkan bakat masing-masing.

“Justeru, MSN dan Kerajaan Negeri mahu atlet ini diberi bantuan sewajarnya seperti latihan dan insentif selain menggilap bakat mereka serta membina keyakinan diri.

“Sukan amat istimewa kerana meletakkan manusia sama taraf dan menjadi landasan terbaik untuk OKU melangkah maju,” katanya selepas menyerahkan insentif kepada pemenang pingat kejohanan Sukan Orang Pekak Malaysia 2018 di pejabat MSN hari ini.

Pada sidang Dewan Negeri Selangor tahun lalu, EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman memaklumkan pihaknya komited membangunkan empat pusat sukan dan rekreasi inklusif untuk semua golongan.

Ia merujuk kepada Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Shah Alam, Kompleks Sukan Panasonic Shah Alam dan Kompleks 3K Majlis Perbandaran Subang Jaya.


Pengarang :