Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
AGENDASUKANKINI

Atlet tidak dihalang sertai kejohanan, latihan di China

KOTA KINABALU, 6 FEB: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan menghalang mana-mana atlet negara untuk bertanding atau menjalani latihan di China walaupun negara berkenaan sedang berdepan dengan penularan koronavirus 2019.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan kementerian telah mengeluarkan garis panduan berhubung perkara berkenaan dan terpulang kepada atlet untuk mematuhinya.

“Beberapa atlet telah kembali semula (dari China) atas pilihan mereka sendiri, dan kita telah pun menasihati mereka (atlet kebangsaan), namun paling penting untuk kita mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan.

“Kita akan rujuk nasihat Kementerian Kesihatan (sebelum membuat keputusan lanjut),” katanya semasa menyaksikan majlis pengenalan pasukan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 di Padang Merdeka di sini malam tadi.

Lima penerjun negara iaitu Leong Mun Yee, Pandelela Rinong, Wendy Ng Yan Yee, Kimberly Bong dan Enrique Harold, selain dua jurulatih kebangsaan iaitu Li Rui dan Li Teng dilaporkan telah kembali ke tanah air dari Chengdu, China pada 31 Januari lepas.

Juara dunia 2017, Cheong Jun Hoong pula menjalani latihan bersama bekas jurulatih terjun kebangsaan, Zhang Yuliang di Qinhuangdao dan tidak merancang untuk kembali ke tanah air dalam tempoh terdekat.

– BERNAMA


Pengarang :