Tun Dr Mahathir Mohamad bergambar dengan murid sekolah pada majlis pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan di Universiti Kebangsan Malaysia pada 13 Februari 2020. Turut serta Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Mohd Gazali Abas. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bahan bacaan digital picisan rosakkan masyarakat – PM

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Sumber pembacaan terlalu banyak menerusi arus digital tanpa sekatan, boleh menjadi gelanggang menyebar berita palsu dan lain-lain kandungan sehingga merosakkan masyarakat, kata perdana menteri.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga pemangku Menteri Pendidikan berkata di sinilah kerajaan dan semua pihak berdepan cabaran pembacaan hari ini dalam membezakan mana yang benar dan palsu, sama ada (kandungan bahan bacaan) yang dihasilkan melalui kajian atau yang dicipta secara picisan.

Katanya, satu cabaran hari ini untuk menggalakkan budaya membaca adalah pengaruh digital ke atas masyarakat begitu besar sehingga sumber pembacaan tradisional seperti surat khabar dan buku-buku semakin diketepikan.

“Banyak syarikat akhbar terpaksa gulung tikar kerana jualan merosot manakala buku-buku tinggal mengumpul debu di perpustakaan atau di atas rak. Namun begitu, ini tidak bermakna rakyat sudah berhenti membaca. Yang berubah ialah sumber pembacaan.

“Malahan, hari ini hampir kesemua akhbar mempunyai versi digital dan buku-buku juga diterbitkan secara digital. Dari segi itu, pembacaan masih kekal sebagai satu budaya,” katanya dalam ucapan melancarkan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi dekat sini hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching turut hadir pada majlis itu.

Menyentuh mengenai kepentingan budaya membaca, Dr Mahathir menegaskan ia adalah suatu amalan pemerolehan dan pengukuhan ilmu pengetahuan yang merupakan asas kepada pembangunan diri manusia.

Jelas beliau, melalui amalan membaca seseorang itu bukan sahaja kaya dengan pelbagai ilmu pengetahuan, bahkan berkebolehan menyampaikan ilmu pengetahuan tersebut dengan baik dan berkesan.

Katanya dari segi sains, amalan membaca menjad satu daripada kaedah senaman dan latihan minda yang berkesan di samping berkeupayaan memperkuat rangkaian otak manusia serta mampu merangsang pembinaan rangkaian saraf yang baharu.

“Dan jika kita membaca sesuatu berulang kali, apa yang kita baca itu akan lebih lekat di dalam ingatan dan tidak mudah dilupakan. Pembacaan yang banyak juga dapat mempertingkatkan kecerdasan emosi (EQ) dan tahap kecerdasan intelektual (IQ) seseorang.

“Kedua-dua unsur kecerdasan ini amat penting bagi membolehkan seseorang itu menguasai pelbagai keadaan dan merebut peluang yang ada bagi pembangunan diri,” katanya.

Bagi melahirkan masyarakat berilmu pengetahuan, Dr Mahathir berkata program pembudayaan amalan membaca perlulah disusun secara sistematik dan diperluas kepada segenap lapisan masyarakat di seluruh negara.

Menurutnya, program sedemikian hendaklah diadakan secara berterusan dan dilaksanakan dengan penuh kesungguhan dalam usaha melahirkan masyarakat berilmu pengetahuan seterusnya menjadi pemangkin dan tonggak kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

“Untuk mencapai tujuan ini, kita perlu memastikan industri buku di negara kita berdaya saing dan dapat memenuhi kehendak pembaca khususnya sebagai persediaan kita mengharungi Revolusi Industri 4.0.

“Bagi membudayakan amalan membaca ini, usaha untuk menerbitkan bahan bacaan yang berkualiti dan memenuhi keperluan negara memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuklah golongan penulis, editor dan penerbit buku yang perlu dilibatkan secara aktif dalam inisiatif ini,” katanya.

Selain itu, katanya, daya beli dalam kalangan masyarakat juga perlu diambil kira dalam usaha mewujudkan pasaran buku yang kompetitif dan mampu dibeli selain memastikan kebolehcapaian masyarakat kepada bahan bacaan tersebut.

DMK adalah inisiatif kerajaan dalam usaha meningkatkan keberhasilan pembacaan rakyat di negara yang antara lain akan memantapkan persekitaran asas galakan membaca dan ketersediaan mental rakyat secara agresif, kreatif dan inklusif selaras hasrat menjadikan Malaysia negara membaca dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Melalui slogan #MalaysiaMembaca, DMK anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia itu memberi fokus untuk meningkatkan jumlah pembacaan, jumlah pembaca dan sasaran pembaca yang lebih menyeluruh serta melalui penglibatan semua peringkat masyarakat.

– BERNAMA


Pengarang :