Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin (duduk, tiga dari kiri) bergambar bersama Datuk Azhar Azizan Harun (duduk, tengah) ketika berkunjung ke pejabat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia pada 19 Februari lalu bagi membincangkan pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020. Foto Facebook MyCensus2020
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Banci 2020: SPR-Jabatan Perangkaan jalin kerjasama strategik

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan menjalinkan kerjasama strategik bersama Jabatan Perangkaan Malaysia dalam melaksanakan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) bermula 7 Julai ini.

Foto Facebook MyCensus2020

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataaan hari ini berkata banci itu akan melalui proses modenisasi membabitkan pembangunan ‘Malaysia Statistical Address Register’ di bawah Sistem Populasi Census Bersepadu oleh Jabatan Perangkaan.

“Ia dilihat amat bermanfaat untuk negara dan membuka ruang serta peluang kepada penambahbaikan berterusan dalam sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat pada masa akan datang,” katanya.

Perkara itu, katanya dicapai hasil lawatan dan perbincangan bersama Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin pada Khamis lalu, yang merupakan kesinambungan kepada usaha serta kerjasama baik antara kedua-dua pihak demi faedah dan kepentingan negara.

Azhar berkata SPR amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan bagi menjayakan pelaksanaan banci itu kerana ia merupakan aktiviti yang sangat penting dan signifikan untuk memberikan gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa Malaysia.

Katanya, ia juga akan menjadi sumber rujukan dan asas penting kepada perancangan pembangunan negara.

-BERNAMA


Pengarang :