Antara ‘supik’ yang dihasilkan oleh pengusaha anyaman daun mengkuang, Fatimah Ismail, 63, ketika ditemui di Kampung Pantai Pandak, Chendering baru-baru ini. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Beg daun mengkuang cenderamata unik buat delegasi APEC 2020

KUALA TERENGGANU, 24 FEB: Selepas 51 tahun menghasilkan anyaman daripada daun mengkuang, Fatimah Ismail, 63, tidak menyangka ‘supik’ yang dihasilkannya berjaya terpilih di antara cenderamata untuk delegasi yang hadir ke Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020.

Warga emas dari Kampung Pantai Pandak, Chendering itu mengakui sangat teruja dan berbangga apabila diberi kepercayaan untuk menghasilkan 444 unit ‘supik’ bagi tujuan itu.

‘Supik’ yang dimaksudkan adalah beg kecil bersaiz tujuh inci panjang dan tiga setengah inci tinggi dihasilkan menggunakan mengkuang sebagai bahan asas, dicelup pelbagai pewarna untuk kelihatan lebih menarik.

“Setakat ini, makcik sudah siapkan 50 unit ‘supik’ dan ada masa dalam dua minggu lagi untuk siapkan bakinya. Insyaallah semua tempahan ini akan siap pada waktu yang dijanjikan kerana makcik turut dibantu lapan lagi penganyam yang mahir dalam penghasilan ‘supik’ ini.

“Jauh di sudut hati, makcik sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk merasai sedikit tempias ekonomi hasil penganjuran APEC 2020 ini dan berharap produk anyaman ini mampu mempromosikan lagi keistimewaan hasil kraf tangan Malaysia di pentas dunia,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Fatimah mula belajar menganyam daun mengkuang ketika berusia 12 tahun dan sehingga kini, beliau bersama dua lagi adiknya iaitu Peah, 55 dan Rohani, 53, masih aktif dalam penghasilan produk kraf tangan berasaskan daun mengkuang.

“Kami bertiga belajar kemahiran ini daripada datuk kerana produk anyaman mengkuang ini antara sumber pendapatan keluarga ketika itu. Namun, kini tinggal kami bertiga sahaja generasi terakhir yang memiliki kemahiran ini kerana anak-anak kurang berminat mempelajarinya.

“Semoga dengan terpilihnya ‘supik’ ini sebagai cenderamata untuk delegasi APEC 2020 akan menyemarakkan lagi semangat penganyam sedia ada untuk terus memartabatkan seni kraf tangan ini,” katanya.

‘Supik’ yang dihasilkan Fatimah akan digunakan untuk menyimpan tiga produk minyak pati keluaran syarikat usahawan Bumiputera iaitu iL Puro Natural, sebagai kit perjalanan yang boleh digunakan bagi membantu menghilangkan stress, penghalang gigitan nyamuk dan mengatasi masalah lenguh-lenguh badan.

iL Puro Natural ialah syarikat pengeluar minyak pati yang kilangnya beroperasi di Kompleks Premis Usahawan SME Bank dekat Chendering di sini manakala outlet jualannya terletak di dua lokasi iaitu di Bandar Sri Hartamas dan Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Sementara itu, pengasas iL Puro Natural, Nora Saman berkata syarikatnya mengemukakan cadangan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selaku Sekretariat APEC 2020 untuk menjadikan produk minyak pati keluaran mereka yang dibungkus unik dengan supik daripada mengkuang sebagai cenderamata kepada delegasi.

“Niat saya mahu mengangkat martabat anyaman mengkuang sebagai hasil kraf yang sangat unik di Malaysia dan Terengganu khususnya selain berkongsi rezeki dengan penduduk di kampung ini.

“Lagi pun ‘supik’ itu boleh digunakan untuk menyimpan barangan lain sekiranya minyak pati itu telah habis, ia adalah cenderamata serba guna yang sangat istimewa untuk delegasi APEC 2020,” katanya.

November ini Malaysia sekali lagi akan menjadi tuan rumah APEC, selepas kali terakhir mengambil peranan itu 22 tahun lepas, dengan edisi kali ini dijangka menghimpunkan 21 pemimpin dan 16,000 perwakilan dari 21 negara anggota.

– BERNAMA


Pengarang :