Kementerian Kesihatan Arab Saudi menyediakan kemudahan enam hospital, 51 klinik, 200 ambulans, 62 pasukan sepanjang ibadah haji di musim Covid-19.
AGENDANASIONAL

Belum ada arahan rasmi sekat jemaah Malaysia ke Makkah

SHAH ALAM, 27 FEB: Kerajaan Arab Saudi belum mengeluarkan arahan rasmi menggantung sementara kemasukan jemaah umrah Malaysia ke negara itu berikutan penularan wabak Covid-19, kata persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH).

Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata setakat jam 9.30 pagi tadi Kedutaan Arab Saudi memaklumkan tiada sekatan visa bagi tujuan menunaikan umrah dan lawatan ke Masjid Nabawi di Madinah, lapor BH Online.

“Begitu juga apabila disemak dengan syarikat penerbangan Arab Saudi, tidak ada arahan untuk menggantung sementara kemasukan rakyat Malaysia,” katanya hari ini.

Razali berkata, PAPUH menjangkakan Arab Saudi hanya akan menggantung kemasukan bagi negara yang teruk terjejas akibat Covid-19 seperti China dan Hong Kong.

“Setakat ini, penerbangan  jemaah Malaysia termasuk yang akan berlepas hari ini masih berjalan seperti biasa.

“Kami menjangkakan Malaysia tidak termasuk di antara negara yang disekat memandangkan belum ada yang meninggal dunia berikutan Covid-19 di negara ini,” katanya.

Beliau turut berkata, sekiranya visa jemaah Malaysia disekat, ia berkemungkinan akan menyebabkan penggiat industri umrah tanah air terjejas teruk terutama membabitkan syarikat kecil.

“Walaupun tempoh masa sekarang hingga April bukan musim puncak bagi jemaah Malaysia, tetapi ia masih memberikan kesan terutama kepada syarikat kecil kerana kebiasaannya mereka perlu membayar keseluruhan kos sebelum ketibaan jemaah.

“Jika perkara ini benar-benar berlaku, dijangkakan penggiat industri akan menanggung kerugian minimum RM50 juta sebulan membabitkan sekurang-kurangnya 10,000 jemaah,” katanya.

Sementara itu, Wisma Putra sedang mendapatkan pengesahan pihak berkuasa Arab Saudi berhubung berita penggantungan Umrah dan Ziarah dari negara mengalami Covid-19.

Pagi tadi, Kementerian Luar Arab Saudi dilaporkan memaklumkan penggantungan sementara kemasukan jemaah umrah di Makkah dan melawat Masjid Nabawi di Madinah.

Kerajaan Arab Saudi turut menggantung visa pelancongan dari negara yang berdepan ancaman Convid-19 dan langkah itu diambil susulan kebimbangan terhadap penularan wabak itu.


Pengarang :