AGENDANASIONAL

Bimbang koronavirus 2019, ringgit diramal rendah minggu depan

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Ringgit dijangka menguji paras psikologi 4.10 minggu depan, dengan momentum aliran yang rendah memandangkan koronavirus 2019 terus menjadi kebimbangan global.

Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan berkata sepanjang minggu yang singkat ini susulan cuti umum sempena Tahun Baharu Cina, pelabur terpaksa berdepan dengan laporan mengenai penularan wabak koronavirus, sekali gus mencetuskan sentimen risiko.

“Memandangkan penghindaran risiko meluputkan peningkatan ringgit setakat ini bagi 2019 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), pelabur akan memerlukan petunjuk jelas yang mengatakan penularan wabak itu akan stabil sebelum aset risiko boleh mencatatkan peningkatan semula,” katanya kepada Bernama.

Nilai ringgit susut 1.93 peratus dalam tempoh tiga bulan lepas disebabkan beberapa kebimbangan global, termasuk ketegangan perdagangan AS-China, ketegangan geopolitik AS-Iran, yang terbaru wabak koronavirus 2019.

Tan berkata perlu dibimbangi wabak itu memberi ancaman pengurangan aktiviti pembuatan global yang berpanjangan disebabkan permintaan dijangka merosot, yang boleh mempengaruhi prospek 2020 bagi ekonomi seluruh dunia.

Pada Jumaat pagi, Pertubuhan Kesihatan Dunia mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam berikutan kebimbangan dunia terhadap virus tersebut, dengan pasaran menyaksikan saham global mengambil petunjuk daripadanya.

Bagi minggu akan datang, Tan berkata selagi penghindaran risiko masih wujud, ia mungkin mendorong ringgit kekal berada pada atas paras 4.10 berbanding dolar AS.

“Bagaimanapun, kelemahan ringgit boleh dikurangkan sekiranya terdapat kejutan positif dalam data ekonomi domestik minggu depan, termasuk data perdagangan luaran dan angka pengeluaran perindustrian Disember.

“Sekiranya sentimen enggan mengambil risiko kian luput, sokongan segera ringgit berbanding dolar AS sewajarnya ke arah sekitar 4.05,” katanya.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan lemah berbanding dolar Singapura kepada 2.9988/3.0032 daripada 2.9954/9980 minggu lepas dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.7581/7628 daripada 3.7323/7345.

Ringgit susut berbanding euro kepada 4.5167/5227 berbanding 4.4791/2821 pada Jumaat minggu lepas dan turun berbanding pound British kepada 5.3723/3792 daripada 5.3221/3263.

– BERNAMA


Pengarang :