AGENDAEKONOMI

Bursa Malaysia dibuka tinggi naik kepada 1,539 mata

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini, sebahagian besarnya disokong oleh belian di kaunter perladangan, permodalan kecil dan kewangan.

Pada jam 9.07 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.96 mata kepada 1,539.04 daripada 1,537.08 semasa ditutup pada Selasa, selepas dibuka tinggi 2.14 mata kepada 1,539.22 pagi ini.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 147 berbanding 93 di pasaran lebih luas, dengan 203 kaunter tidak berubah, 1,530 tidak diniagakan dan 40 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 132.63 juta saham bernilai RM61.89 juta.

Dalam nota, Malacca Securities Sdn Bhd berkata indeks hampir tidak berubah semalam, walaupun terdapat aktiviti jualan di rantau ini.

“Kami melihat keadaan tidak banyak berubah buat masa ini berikutan pelabur terus memantau perkembangan mengenai langkah-langkah rangsangan kerajaan,” katanya.

Dagangan yang kurang menggalakkan di Bursa Malaysia dijangka berpanjangan berikutan kekurangan perkembangan positif mengenai keadaan virus Covid-19, menurut firma penyelidikan itu.

Pada masa ini, ia menjangka akan terdapat trend jajaran kecil berikutan FBM KLCI dilihat berada antara paras 1,535-1,555. Bagaimanapun, penurunan di bawah paras 1,535 akan terus menyaksikan kemerosotan kepada paras 1,515.

“Kami menjangka aktiviti pengambilan untung segera akan berpanjangan buat masa ini berikutan pelabur juga boleh memilih untuk kekal tidak memasuki pasaran dan memantau kumpulan pendapatan korporat baru-baru ini,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :