AGENDANASIONAL

Bursa Malaysia kekal dalam segmen positif ketika ditutup

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Bursa Malaysia kekal dalam segmen positif pada Khamis, didorong oleh pembelian saham wajaran tinggi terpilih seperti kaunter utiliti, kewangan dan perladangan.

Tenaga, Public Bank, CIMB dan Sime Darby Plantation menyumbang 4.074 mata dalam indeks komposit.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.82 mata kepada 1,534.98 berbanding 1,534.16 ketika ditutup Rabu.

Selepas dibuka 2.93 mata lebih tinggi kepada 1,537.10 pagi ini, indeks tempatan begerak di antara 1,531.15 dan 1,540.18 sepanjang hari dagangan.

Bagaimanapun, di papan skor, kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu 436 berbanding 405, manakala 410 kaunter tidak berubah, 731 tidak diniagakan dan 40 lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.96 bilion saham bernilai RM2.27 bilion daripada 2.54 bilion saham bernilai RM1.95 bilion pada Rabu.

Ahli ekonomi Interpac Asset Management Datuk Dr Nazri Khan berkata walaupun berlaku sedikit peningkatan di bursa tempatan, pasaran ekuiti masih dalam aliran penurunan.

“Berikutan penularan Covid-19, pelabur tempatan masih bergelut untuk menentukan taksiran terhadap ekonomi China, yang turut menjejaskan ekonomi Malaysia.

“Kami yakim wujud limpahan positif terhadap rantaian penawaran di seluruh dunia khususnya apabila China merupakan rakan dagang Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Nazri berkata berikutan pertumbuhan ekonomi China yang perlahan, kebanyakan saham terdedah kepada negara itu seperti Apple dan Intel yang turut mencatat penurunan hasil.

Sementara itu, di peringkat tempatan, beliau berkata sentimen tersebut agak membimbangkan dengan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang berlangsung esok yang dijangka menyentuh beberapa isu termasuk peralihan kuasa dalam kalangan pemimpin parti itu.

Bagi saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank menambah dua sen kepada RM8.42, Tenaga dan Public Bank masing-masing naik 18 sen kepada RM12.78 dan RM18.12, manakala IHH susut satu sen kepada RM5.81.

Saham aktif menyaksikan InNature yang mula disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia menokok 1.5 sen kepada 65.5 sen, Powerwell meningkat satu sen kepada 37.5 sen, manakala DGB Asia turun 1.5 sen kepada 5.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 3.34 mata kepada 10,988.73, Indeks FBMT 100 menokok 1.76 mata kepada 10,774.94 dan FBM ACE meningkat 39.69 mata kepada 5,650.70.

Indeks FBM Emas menokok 8.55 mata kepada 11,706.82 dan FBM 70 turun 14.20 mata kepada 13,922.90.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menokok 0.39 mata kepada 146.82, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 48.74 mata kepada 14,700 namun Indeks Perladangan turun 29.90 mata kepada 7,150.32.

Jumah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.7 bilion saham bernilai RM1.99 bilion daripada 1.46 bilion saham bernilai RM1.68 bilion pada Rabu.

Jumlah waran naik kepada 395.51 juta unit bernilai RM69.06 juta berbanding 322.39 juta unit bernilai RM52.19 juta.

Dagangan di Pasaran ACE naik kepada 870.55 juta saham bernilai RM211.62 juta berbanding 764.70 juta saham bernilai RM217.32 juta.

Selain itu produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 430.45 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan (183.51 juta), pembinaan (140.81 juta), teknologi (202.41 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (39.67 juta), hartanah (90.85 juta), perladangan (27.93 juta), REIT (12.59 juta), dana tertutup (3,000), tenaga (342.26 juta), penjagaan kesihatan (54.45 juta), telekomunikasi dan media (93.91 juta), pengangkutan dan logistik (45.81 juta) dan utiliti (29.82 juta).

– BERNAMA


Pengarang :