Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat, Mohamad Zain A Hamid mempengerusi Mesyuarat Bulanan Majlis Daerah Kuala Langat di Bilik Mesyuarat Cempaka Kuning, Banting pada 25 Februari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Cadangan kamera badan, MDKL beri kerjasama

BANTING, 25 FEB: Penguat kuasa Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) memberi kerjasama mengenai cadangan pemasangan kamera badan pada penguat kuasa yang sedang diperhalusi Kerajaan Negeri, kata yang dipertuanya.

Bagaimanapun, Mohamad Zain A Hamid berkata, kakitangannya kurang menerima ancaman fizikal berbanding pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.

“Jika ada kes, kebanyakan berjaya diselesaikan secara baik oleh kakitangannya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MDKL di sini hari ini.

Pada 15 Februari, EXCO kerajaan tempatan Ng Sze Han memaklumkan Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan penggunaan kamera badan bagi menjamin keselamatan anggota penguat kuasa PBT dan orang awam jika berlaku insiden di luar dugaan.

Cadangan itu dibuat ekoran tercetusnya beberapa kes kekasaran antara orang awam dan penguat kuasa PBT.

Pada 6 Februari lalu, seorang wanita memukul pihak berkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam selepas keretanya ditunda dalam kejadian di Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20.

Pada 13 Februari, tular video penguat kuasa MPSJ menjatuhkan seorang warga emas selepas beliau dipukul dengan payung oleh lelaki berkenaan.


Pengarang :