Kakitangan perubatan sedang memeriksa seorang pesakit yang dijangkiti Covid-19 di sebuah hospital di Wuhan, China pada 16 Februari 2020. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMAGLOBAL

Covid-19: Angka korban melonjak kepada 1,868 orang

SHAH ALAM, 18 FEB: Jumlah kematian akibat Covid-19 di China melonjak kepada 1,868 orang setakat ini, selepas 93 orang lagi meninggal dunia di wilayah Hubei dan 72 di Wuhan.

Dalam kemas kini hariannya, suruhanjaya kesihatan negara mengesahkan 1,886 jangkitan baharu, menjadikan keseluruhan kes 72,436, lapor The Straits Times.

Penularan wabak membantutkan sektor pembuatan dan pelancongan di seluruh rantau itu susulan sekatan perjalanan termasuk penerbangan dan pelayaran.

Sementara itu, BHOnline melaporkan wilayah Hubei yang menjadi pusat penularan Covid-19, mengumumkan akan melaksanakan sekatan perjalanan lebih ketat terhadap semua penduduknya bagi menghalang wabak tersebut merebak.

Mengikut peraturan baharu, semua perniagaan akan ditutup dan semua 58 juta penduduk di wilayah itu tidak boleh meninggalkan kediaman atau perkampungan masing-masing.

Tiada sebarang kenderaan atau pelawat dibenarkan masuk ke kawasan kediaman atau perkampungan, kecuali benar-benar perlu.

Hubei turut melarang semua kenderaan di atas jalan raya, kecuali kereta polis, ambulans, kenderaan yang membawa barangan keperluan dan beberapa kenderaan lain yang dibenarkan.

Jumlah orang awam di dalam premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi pula akan dihadkan, serta ‘penyelarasan kolektif’ bagi individu yang dibenarkan keluar daripada rumah untuk membeli barangan keperluan.


Pengarang :