Selangorkini
Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah mendengar penerangan Menteri Luar Republik Rakyat China Wang Yi yang menjadi pengerusi bersama Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-China Khas mengenai Covid-19 di Vientiane pada 20 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDA GLOBAL

Covid-19: ASEAN-China komited kurangkan kesan terhadap pembangunan ekonomi, sosial

VIENTIANE, 20 FEB: ASEAN dan China komited dalam mengurangkan kesan penularan jangkitan Covid-19 terhadap pembangunan ekonomi dan sosial di semua negara terjejas, demikian menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-China mengenai Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) di sini hari ini.

Menteri-menteri luar ASEAN dan China berkata mereka akan mengekalkan aktiviti pertukaran rakyat-ke-rakyat, perdagangan dan pelaburan selain meneruskan serta mempertingkat pertukaran dan kerjasama di rantau ini berdasarkan kemajuan dalam langkah pencegahan serta pengawalan wabak itu.

“Perusahaan yang terjejas akibat wabak ini terutama yang bersaiz mikro, kecil dan sederhana akan menerima bantuan sewajarnya, termasuk melalui promosi ekonomi digital seperti digariskan di bawah Kerjasama Ekonomi Tahun Digital ASEAN-China bagi memudahkan aktiviti ekonomi semasa penularan wabak.

“Kami bertekad untuk terus bekerjasama dalam menangani penyakit berbahaya ini dan kesan buruk Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Luar China Wang Yi dan Setiausaha Luar Filipina Teodoro Locsin. Turut hadir Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah.

Kesemua menteri luar itu berkata mereka akan memberi taklimat kepada pemimpin masing-masing mengenai keputusan mesyuarat tersebut dan menyambut baik bimbingan mereka mengenai kertas cadangan.

Mereka juga bersetuju memperkukuh kerjasama dalam mekanisme yang diterajui ASEAN dan dengan rakan-rakan luar bagi menangani Covid-19 secara menyeluruh dan berkesan dengan mengambil kira tahap pembangunan kesihatan yang berbeza di rantau ini.

“Kami akan memperkukuh kerjasama dalam komunikasi risiko serta kesediaan penglibatan komuniti dan maklum balas bagi memastikan bahawa orang ramai dimaklumkan secara tepat dan terperinci mengenai Covid-19 dan tidak dikelirukan oleh maklumat salah serta berita palsu berkaitan Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Menteri-menteri luar ASEAN dan China mengatakan bahawa mereka akan memperkukuh dialog dasar serta pertukaran mengenai perkembangan terkini Covid-19, termasuk kawalan dan rawatannya, selain kajian dan penyelidikan yang berkaitan menerusi mekanisme sedia ada untuk melaksanakan sepenuhnya MOU ASEAN-China mengenai Kerjasama Kesihatan, dan menyokong lebih banyak projek usaha sama yang telah dipersetujui.

“Semua pihak harus terlibat dalam pertukaran data dan teknologi yang relevan, pengalaman dan pembinaan kapasiti termasuk latihan kakitangan kesihatan dan perubatan, lawatan bersama pakar perubatan dan pekerja kesihatan lain serta kemungkinan mengadakan Bengkel ASEAN-China mengenai Kakitangan Kecemasan Kesihatan, memperkukuh kerjasama antara Pusat Kawalan Penyakit dan institusi yang relevan di ASEAN dan China,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :