Sebahagian pelancong menggunakan pelitup muka bagi mencegah jangkitan Covid-19 ketika tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 pada 27 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Dua wanita China pulih sepenuhnya, dibenar pulang

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Dua wanita warganegara China yang disahkan positif Covid-19 telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang ke rumah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif yang pulih sehingga ini, 20 orang.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata kedua-dua wanita berkenaan masing-masing dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Kes ke-14, seorang wanita warganegara China berumur 37 tahun yang telah disahkan positif Covid-19 pada 5 Februari 2020 dan kes ke-19, seorang wanita warganegara China berumur 38 tahun, yang telah disahkan positif Covid-19 pada 12 Februari 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian itu berkata setakat ini tiada kes baharu yang dilaporkan dengan hanya dua orang yang masih dirawat di wad dan berada dalam keadaan stabil.

Menurut kementerian itu lagi, sehingga 24 Januari lepas, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 yang dilaporkan di Malaysia kekal 22 kes.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang turut berkongsi perkembangan terkini mengenai wabak itu menerusi laman Twitter turut memaklumkan itu merupakan kicauan (tweet) terakhir beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

“Tweet saya yang terakhir sebagai YBM. TK!,” katanya dalam catatan di laman Twitter.

Catatan itu dimuat naik memandangkan tiada lagi barisan kabinet selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :