Pegawai kesihatan Malaysia mengedarkan risalah kepada penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada 21 Januari 2020 ketika pihak berkuasa meningkatkan langkah mencegah koronavirus. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Covid-19: Duta puji KKM panjangkan penjagaan pesakit China

SUNGAI BULOH, 14 FEB: Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian memuji langkah Kementerian Kesihatan (KKM) memanjangkan penjagaan kepada rakyat China yang dimasukkan ke hospital di negara ini selepas mereka didapati dijangkiti virus koronavirus 2019 (Covid-19).

Bercakap kepada media selepas melawat empat pesakit Covid-19 rakyat China yang telah sembuh dan dibenarkan keluar dari Hospital Sungai Buloh di sini hari ini bersama-sama Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye, beliau berkata seorang daripada pesakit itu memberitahunya bahawa mereka bersyukur kerana menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

“Mereka terharu dengan layanan dan penjagaan baik serta kasih sayang yang mereka terima,” katanya sambil menambah bahawa hospital itu turut bersusah-payah menyediakan doktor yang fasih berbahasa Mandarin kepada mereka semasa rawatan.

Keempat-empat pesakit dibenarkan keluar selepas tiga minggu menerima rawatan. Mereka meninggalkan hospital itu tanpa bertemu dengan media.

Mereka merupakan kes Covid-19 pertama, kedua, ketiga dan kelima yang disahkan di Malaysia, membabitkan seorang nenek, seorang ibu dan dua anak daripada satu keluarga.

Bai Tian turut memuji kementerian itu yang profesional dalam menangani situasi Covid-19 di Malaysia, terutama dalam menyalurkan maklumat jelas untuk meredakan kebimbangan yang tidak perlu.

Sementara itu, Lee berkata keempat-empat tidak diberikan sebarang ubat antiviral kerana sistem imun mereka sendiri berjaya menyingkirkan virus Covid-19.

Beliau berkata mereka dibenarkan keluar kerana tidak lagi mempunyai gejala penyakit itu dan telah dua kali diuji negatif secara berterusan dalam tempoh lebih 24 jam.

“Mengenai rawatan antiviral, kami masih menunggu lebih banyak keputusan dari China kerana mereka melaporkan bahawa terdapat beberapa jenis ubat yang mungkin berguna.”

Beliau berharap penularan Covid-19 boleh dikawal dalam masa yang singkat sambil menambah bahawa semua negara harus menghadapinya bersama.

Penularan koronavirus baharu itu, yang bermula di Wuhan, China telah menyebabkan lebih 1,300 orang maut setakat ini manakala lebih 64,000 dijangkiti di seluruh dunia.

Malaysia mencatat 19 kes dengan tujuh daripadanya telah pulih dan dibenarkan keluar hospital, termasuk empat di Hospital Sungai Buloh hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :